BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

Belum Ada Cadangan Untuk Malaysia Sertai New Development Bank Setakat Ini - MITI

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Belum ada cadangan setakat ini untuk Malaysia menyertai New Development Bank (NDB), kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

MITI berkata sekiranya terdapat keperluan menyertai NDB, Malaysia perlu bersedia untuk menyumbang kepada institusi kewangan itu dan langkah berkenaan akan menambah komitmen kewangan sedia ada negara.

“Malaysia perlu mengambil kira dasar kerajaan untuk menghadkan hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hanya bergantung dengan agensi kewangan tempatan, memandangkan Malaysia telah mencapai status graduate country dalam kalangan bank pembangunan pelbagai hala yang lain,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara.

MITI menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang yang ingin tahu adakah Malaysia akan memohon untuk menjadi ahli dalam NDB berpangkalan di China susulan pengumuman Malaysia menjadi ahli gabungan negara-negara BRICS.

Prospek keahlian Malaysia dalam NDB dibincangkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dengan Presiden NDB Dilma Rousseff semasa pertemuan mereka di Sidang Heads of State and Government in the BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia.

MITI berkata keahlian NDB terbuka kepada semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa mengambil kira sama ada negara tersebut adalah negara anggota BRICS atau sebaliknya.

Untuk menentukan sama ada Malaysia akan menikmati manfaat hasil keahlian dalam NDB, satu analisis kos dan faedah yang menyeluruh perlu dilaksanakan.

“Analisis ini akan mempertimbangkan syarat keahlian, komitmen kewangan dan kuasa mengundi Malaysia dalam NDB,” katanya.

MITI berkata kerajaan perlu mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh yang relevan termasuk agensi sektor ekonomi dan pembangunan bagi mendapatkan maklum balas bagi memastikan keahlian dalam NDB seiring dengan keutamaan pembangunan negara.

“Sebagai persediaan awal, Malaysia boleh memohon untuk menjadi pemerhati dalam mesyuarat Lembaga NDB.

“Langkah ini akan memberi peluang kepada Malaysia untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai operasi dan tadbir urus NDB sebelum menyertainya secara rasmi,” katanya.

-- BERNAMA