Manfaat Belanjawan, Pertumbuhan Ekonomi Perlu Sampai Ke Akar Umbi - PM
PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerangka belanjawan dan pembangunan negara bukan sahaja bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi ia juga perlu memastikan manfaat itu sampai kepada akar umbi.
Beliau berkata kerangka belanjawan dan pembangunan negara harus seimbang, dan ia seharusnya memberi insentif untuk memacu pertumbuhan serta menarik pelaburan, dan pada masa yang sama memastikan manfaat tersebut turut menyantuni golongan yang memerlukan.
Perdana Menteri berkata transformasi digital dan tenaga seharusnya memanfaatkan semua kelompok masyarakat.
Sehubungan itu Anwar menyarankan institusi seperti bank yang mencatat keuntungan besar menilai keadaan golongan termiskin yang bekerja.
"Apa makannya, rumahnya di mana, dan gajinya berapa...keluarga pemandu, keluarga penjaga yang paling daif.. ambil perhatian,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF), di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Negara semalam, beliau memberi penjelasan tentang peningkatan pertumbuhan yang lebih baik daripada unjuran, dan kejayaan itu tidak harus menyebabkan jentera kerajaan terlalu selesa.
"Kita ini sebagai manusia, keupayaan itu sangat baik, tetapi kita kadang-kadang merasakan sudah terbaik," katanya.
Beliau berkata jentera perkhidmatan awam harus "strive for excellence" bermaksud tidak ada batasnya dan ia menjurus ke puncak, serta terus meningkat.
Justeru Anwar mahu penjawat awam mencari kaedah yang sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan yang lebih baik dan berjaya daripada dulu.
Beliau berkata selain kaedah yang lebih baik dalam transformasi bidang digital, kecekapan dan pengurusan, perlu juga penganjuran seminar serta perbincangan dengan pemikir antarabangsa yang boleh memberi sentuhan tentang beberapa kelemahan yang harus diperbaiki.
Oleh itu Anwar berkata beliau mahu supaya majlis ilmu dalam soal teknologi, digital dan perbankan diadakan di Perbendaharaan sebulan sekali, selain yang dilaksanakan di Seri Perdana, agar budaya ilmu dihidupkan untuk mengangkat keupayaan yang dapat membantu dalam urusan kerja.
Perdana Menteri berkata beliau sering menyentuh tentang keterampilan, penguasaan ilmu yang rencam dan pelbagai cabang disiplin baharu.
Beliau berkata sehubungan itu dalam usaha menggapai kaedah baharu, kepakaran dan kemahiran untuk kemajuan negara,; pegangan terhadap budaya, nilai kemanusiaan, keyakinan agama dan moral tidak boleh sesekali dilupakan.
Anwar turut mengingatkan kelompok yang "berada" di atas agar tidak angkuh dengan golongan bawahan.
Beliau mengambil ikhtibar daripada insiden viral di Indonesia di mana seorang pendakwah menghina penjual teh kerana jualannya tidak laku dalam satu majlis ilmu.
"Jangan sesekali lupa apabila ada keupayaan di semua peringkat ada kelompok yang tidak berupaya menjenguk kita," katanya.
Beliau menyifatkan itu merupakan satu contoh keangkuhan dan sombong itu bukan saja dalam kalangan orang yang tidak tahu agama tetapi orang yang beragama.
Baru-baru ini tular video memaparkan seorang pendakwah menghina seorang penjual teh ais dengan mengeluarkan perkataan biadap terhadap lelaki berkenaan semasa berceramah di wilayah Jawa Tengah, Indonesia, namun pendakwah itu kemudiannya dikatakan telah berkunjung ke rumah peniaga berkenaan dan memohon maaf.
-- BERNAMA