BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

re:Invent 2024: AWS Lancar Komitmen US$100 Juta Untuk Penyelesaian Pembelajaran Digital

Daripada Anas Abu Hassan

LAS VEGAS, 5 Dis (Bernama) -- Amazon Web Services Inc (AWS) komited menyediakan hingga US$100 juta (US$1=RM4.40) dalam bentuk kredit awan di bawah AWS Education Equity Initiative bagi tempoh lima tahun akan datang untuk membantu organisasi pendidikan yang layak di seluruh dunia membangunkan atau meluaskan penyelesaian pembelajaran digital.

Program baharu itu akan memberikan kredit awan kepada penerima, membolehkan mereka memanfaatkan portfolio komprehensif teknologi awan dan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) AWS yang canggih untuk mencipta inovasi.

"Mereka juga boleh menerima kepakaran teknikal daripada Arkitek Penyelesaian AWS yang akan menyediakan panduan seni bina, amalan terbaik untuk pelaksanaan AI secara bertanggungjawab dan sokongan pengoptimuman berterusan.

"AWS kini bekerjasama dengan lebih 50 organisasi dari 10 negara, membolehkan mereka menggunakan teknologi canggih untuk membawa penyelesaian pembelajaran kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian dan perkhidmatan," menurut syarikat berkenaan dalam kenyataan bersempena dengan AWS re:Invent 2024 di sini pada Rabu.

AWS Education Equity Initiative meneruskan komitmen lama Amazon.com Inc dan AWS untuk membuka peluang pendidikan dan kerjaya kepada pelajar yang kurang mendapat peluang.

Dengan penambahan AWS Education Equity Initiative, syarikat berkenaan akan dapat membantu organisasi bukan berasaskan keuntungan, syarikat teknologi pendidikan, perusahaan sosial, kerajaan, dan pasukan tanggungjawab sosial korporat untuk memperluas akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan kepada golongan yang kurang mendapat perhatian dan perkhidmatan.

-- BERNAMA