BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Jumlah Dagangan Malaysia Naik 2.9 Peratus Kepada RM237.8 Bilion Pada November

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Jumlah dagangan Malaysia pada November 2024 meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM237.8 bilion berbanding RM231.1 bilion setahun lepas, dipacu oleh pertumbuhan eksport dan import, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 4.1 peratus atau RM5.0 bilion manakala import naik 1.6 peratus kepada RM111.3 bilion.

Lebihan dagangan meningkat sebanyak 26.3 peratus kepada RM15.3 bilion yang merupakan lebihan bulan ke-55 berturut-turut sejak Mei 2020. 

“Prestasi eksport Malaysia meningkat selaras dengan kenaikan eksport domestik pada November 2024. Eksport domestik (83.3 peratus daripada jumlah eksport) meningkat 10.3 peratus berbanding November 2023,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia bagi November 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata manakala eksport semula (16.7 peratus daripada jumlah eksport) susut 18.7 peratus kepada RM21.2 bilion.

Beliau berkata eksport lebih tinggi disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM7.4 bilion) dan diikuti oleh Taiwan (+RM2.5 bilion), Kenya (+RM645.2 juta), India (+RM497.9 juta), Bangladesh (+RM382.4 juta), Mexico (+RM265.9 juta) dan New Zealand (+RM220.9 juta).

Selain itu, peningkatan import pula terutamanya dari China (+RM2.3 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Mexico (+RM784.5 juta), Chad (+RM659.8 juta), India (+RM460.6 juta), Switzerland (+RM410.8 juta) dan Cameroon (+RM375.3 juta). 

Peningkatan itu melibatkan barangan elektrik dan elektronik (+RM6.6 bilion), keluaran pertanian lain (+RM536.1 juta), minyak sayuran lain (+RM358.1 juta), makanan diproses (+RM286.8 juta), gas asli cecair (+RM189.6 juta) serta keluaran perkilangan lain (+RM185.1 juta).

Berbanding tempoh Oktober 2024, Mohd Uzir berkata eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatat penurunan 1.2 peratus, 4.3 peratus dan 2.7 peratus dan sebaliknya, imbangan dagangan meraih pertumbuhan sebanyak 28.8 peratus.

-- BERNAMA