BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Meningkat Pada Tengah Hari, Indeks Komposit Naik 1.10 Peratus

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Jumaat dengan lebih tinggi, dipacu oleh minat belian berterusan dalam saham-saham mewah terpilih di tengah-tengah aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun.

Pada 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 17.79 mata atau 1.10 peratus ke paras 1,631.49 berbanding 1,613.70 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.86 mata kepada 1,617.56 dan berlegar dalam julat 1,616.69 hingga 1,632.63 sepanjang sesi berkenaan.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 506 berbanding 412 manakala 508 lain tidak berubah, 996 tidak didagangkan manakala 40 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.72 bilion unit bernilai RM1.16 bilion.

Sementara itu Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya berkata aktiviti memperelok akaun oleh pelabur terus ketara di bursa tempatan walaupun terdapat petunjuk yang bercampur-campur daripada prestasi semalaman pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS).

Perkembangan itu berlaku ketika peniaga terus dalam proses meneliti dan memberi reaksi terhadap data tuntutan pengangguran di negara maju itu yang diumumkan semalam.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional melonjak 82 sen kepada RM15; Maybank meraih dua sen kepada RM10.14; Public Bank naik tiga sen kepada RM4.57; CIMB menambah lapan sen kepada RM8.12 dan IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM7.24.  

Bagi saham aktif, Vanzo tidak berubah pada 20.5 sen, MYEG dan JCY masing-masing menambah satu sen kepada 96 sen dan 57 sen manakala SNS Network meraih setengah sen kepada 67.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 113.14 mata kepada 12,492.72, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 152.96 mata kepada 12,506.45 dan Indeks FBMT 100 naik 117.79 mata kepada 12,180.40.

Indeks FBM 70 naik 124.77 mata kepada 18,692.65 namun Indeks FBM ACE turun 6.58 mata kepada 5,326.78.  

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 90.90 mata kepada 19,049.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.03 mata kepada 174.38, Indeks Perladangan meraih 44.59 mata kepada 7,585.70 dan Indeks Tenaga menambah 1.26 mata kepada 823.44.

-- BERNAMA