BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

IRDA Sedia Main Peranan Penting Jayakan JS-SEZ

Oleh Shaidathul Suhana Ros

ISKANDAR PUTERI, 8 Jan (Bernama) -- Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sedia memainkan peranan penting untuk menjayakan inisiatif ekonomi berimpak tinggi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Mohd Noorazam Osman berkata pihaknya teruja dengan pemeteraian perjanjian itu yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Singapura di Putrajaya semalam.

“IRDA berasa teruja dengan pemeteraian perjanjian JS-SEZ dan akan memainkan peranan penting termasuk memacu Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J).

“IRDA juga akan bekerjasama dengan Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memudahkan dan mempercepatkan pelaksanaan pelaburan di JS-SEZ,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura berkaitan JS-SEZ bersama enam lagi memorandum persefahaman dan satu surat hasrat.

Anwar dilaporkan berkata JS-SEZ merupakan inisiatif unik apabila dua negara bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membantu mempromosikan kedua-dua negara dan menarik pelaburan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam hantaran di laman Facebook berkata perjanjian tersebut bakal menyaksikan 100 projek berimpak tinggi dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang sekali gus mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Katanya perjanjian itu melibatkan sembilan kawasan strategik iaitu Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, Sedenak, Forest City, Pengerang dan Desaru dengan menawarkan peluang perniagaan dalam 11 sektor utama termasuk pembuatan, logistik, tenaga serta ekonomi digital dan hijau.

-- BERNAMA