BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

JS-SEZ Diunjur Sumbang Tambahan US$28 Bilion Kepada KDNK Tahunan Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menyumbang tambahan US$28 bilion (US$1=RM4.50) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan Malaysia menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata ekonomi Johor pada masa ini menyumbang kira-kira 9.0 peratus kepada KDNK dan dijangka menjadi saingan Lembah Klang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“SEZ yang meliputi dua negara adalah sesuatu yang amat jarang di dunia. Zon ekonomi lain (sebaliknya) dilaksanakan di bawah satu bidang kuasa.

“Sehubungan itu, kita perlu mengharmonikan banyak perkara. Proses itu sukar, namun telah dibantu oleh realiti yang bagi saya, kedua-dua pihak baik di Malaysia dan Singapura, telah memahami nilainya,” katanya pada sesi bual santai bertajuk “From Made in Malaysia to Made by Malaysia” (Daripada Buatan di Malaysia kepada Buatan Malaysia) pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di sini, hari ini.

Rafizi juga menyifatkan JS-SEZ akan mewujudkan enjin pertumbuhan baharu bagi Malaysia.

“Jika kita dapat memanfaatkan elemen pelengkap dari Singapura, maka Johor sepatutnya berupaya menjadi enjin pertumbuhan baharu dalam dekad akan datang,” katanya.

Perjanjian bersama JS-SEZ telah dimeterai pada Selasa, menandakan lembaran baharu pertumbuhan ekonomi serta kerjasama rentas sempadan, sekali gus mengundang peluang besar untuk Iskandar Puteri serta wilayah lebih meluas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lawrence Wong telah menyaksikan pertukaran perjanjian antara Malaysia dan Singapura bagi JS-SEZ.

-- BERNAMA