BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

ASEAN Perlu Strategi Bersatu Tingkatkan Industri EV, Kata CEO Yinson

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — ASEAN memerlukan strategi bersatu untuk meningkatkan industri kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Holdings Bhd (Yinson) Lim Chern Yuan.

Bercakap pada sesi perbincangan panel bertajuk "Pelan Hala Tuju Pelaksanaan EV ASEAN" di  ASEAN Economic Opinion Leaders Conference hari ini, Lim berkata penting bagi rantau ini untuk bergerak melangkaui model yang tertumpu kepada pemasangan dengan nilai tambah rendah selain mencipta pekerjaan bergaji rendah.

"Kita perlu beralih ke arah bidang bernilai tinggi seperti semikonduktor, bateri dan kejuruteraan perisian," katanya.

Lim menegaskan industri semikonduktor Malaysia sebagai penyumbang penting kepada ekosistem EV selain menekankan langkah strategik Indonesia untuk memberi tumpuan kepada pengeluaran bateri disebabkan rizab nikel yang besar di negara itu.

"China membangunkan rangkaian bekalan sepenuhnya disebabkan oleh pasaran domestiknya yang kukuh dan ASEAN mesti mengambil pendekatan menyeluruh dengan memutuskan negara mana yang memberi tumpuan kepada sektor tertentu daripada bersaing antara satu sama lain.

“Dasar lain yang berpecah-belah hanya akan menghalang keupayaan kita untuk bersaing di peringkat global," katanya.

Lim juga menekankan pentingnya meningkatkan permintaan domestik untuk EV di seluruh ASEAN, dengan menyatakan ia langkah penting untuk menarik pelaburan dan membangunkan ekosistem EV serantau.

"Contohnya di Taiwan, terdapat sokongan yang kuat untuk stesen penukaran bateri dan ekosistem selepas jualan, termasuk kedai penyelenggaraan untuk motosikal EV dan ini merupakan pendekatan yang perlu dipertimbangkan oleh negara ASEAN untuk membina keyakinan pengguna," katanya.

Selain gesaan peralihan ke arah industri bernilai tinggi, Lim menggalakkan negara-negara ASEAN untuk melabur dalam bidang seperti kejuruteraan perisian untuk sistem bantuan pemandu (ADAS) lanjutan dan teknologi tenaga boleh baharu, bukannya sekadar mencontohi pendekatan China.

"ASEAN mesti mencontohi inisiatif sebegini untuk membina keyakinan pengguna dan menarik pelaburan dalam sektor EV," kata Lim.

Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd iaitu anak syarikat Yinson, terlibat dalam membangunkan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.

--BERNAMA