Minat Belian Ketara Saat Akhir Pacu Bursa Malaysia Ditutup Raih 7.66 Mata
Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun dan mengatasi penyusutan awal apabila ditutup tinggi dalam dagangan Selasa, didorong oleh momentum belian pada lewat tengah hari ini.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.66 mata atau 0.44 peratus kepada 1,747.43 daripada 1,739.77, semalam.
Indeks petunjuk utama itu yang dibuka susut 1.97 mata kepada 1,737.80, turut bergerak dalam julat rendah 1,732.64 dan seterusnya tinggi pada 1,747.82.
Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 605 berbanding 539 manakala 599 kaunter tidak berubah, 889 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.86 bilion unit bernilai RM2.59 bilion berbanding 3.05 bilion unit bernilai RM2.55 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun lantunan yang berlaku pada dagangan lewat hari ini membuktikan sokongan belian, penyertaan pasaran secara keseluruhan masih bersifat selektif ketika pelabur terus meneliti perkembangan geopolitik yang berlanjutan selain faktor lonjakan harga minyak.
“Berikutan itu, bursa tempatan kekal berhati-hati walaupun ditutup positif hari ini apabila asas sentimen terus dipengaruhi oleh faktor ketidaktentuan di peringkat luaran.
“Bagi prospek masa depan, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan dalam mod konsolidasi yang cenderung meningkat sedikit, disokong oleh pengumpulan terpilih dalam sektor-sektor utama. Bagi tempoh terdekat ini, indeks dijangka bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,750,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula menyifatkan prestasi dagangan hari ini sebagai paparan daya tahan yang dijangkakan meskipun ketegangan geopolitik terus meningkat dengan kenaikan tertumpu kepada saham wajaran tinggi berkaitan petroleum.
Keadaan itu berlaku ketika harga minyak mentah kekal kukuh menghampiri US$110 setong susulan tekanan baharu dalam gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Beliau berkata pergerakan itu turut menunjukkan komposisi indeks masih dimanfaatkan secara taktikal terhadap dinamik harga tenaga yang membolehkan saham berkaitan minyak menyokong sentimen mengelak risiko yang lebih ketara.
“Indeks meningkat secara beransur-ansur pada pertengahan sesi petang dan momentum itu kekal hingga akhir dagangan. Ini menunjukkan tindakan pengumpulan oleh institusi yang stabil berbanding pembelian berasaskan momentum.
“Walaupun lonjakan harga minyak memberi sokongan dalam tempoh terdekat, sejauh mana peningkatan ini dapat bertahan akan ditentukan oleh sama ada risiko geopolitik itu terus mampu mengekalkan pendapatan yang dicatatkan berbanding pemangkin yang dipacu oleh sentimen,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi lapan sen kepada RM11.20, IHH Healthcare turun empat sen kepada RM8.83, CIMB naik 20 sen kepada RM7.89 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.75 dan RM14.80.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI naik setengah sen kepada 86.5 sen, GIIB Holdings meraih 2.5 sen kepada 18.5 sen, Tanco menambah satu sen kepada RM1.62, Straits Energy Resources turun tiga sen kepada 4.5 sen manakala UEM Sunrise rugi satu sen kepada 63 sen.
Saham paling untung didahului Petronas Dagangan yang naik 24 sen kepada RM20.34, Telekom Malaysia melonjak 19 sen kepada RM7.80, Petronas Chemicals dan Hong Leong Industries pula masing-masing menambah 22 sen kepada RM5.92 dan RM17.92.
Sebaliknya saham dengan kerugian ketara menyaksikan Nestle turun RM2.10 kepada RM101.70, Malaysian Pacific Industries susut 50 sen kepada RM37.50, Fraser & Neave susut 46 sen kepada RM29.56, Hong Leong Bank kehilangan 20 sen kepada RM22.10 dan Malayan Cement turun 19 sen kepada RM6.71.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 39.57 mata kepada 12,887.34, Indeks FBM Top 100 melonjak 42.58 mata kepada 12,731.62, Indeks FBM Emas Syariah naik 42.10 mata kepada 12,866.55 dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 4.27 mata kepada 18,269.48.
Indeks FBM ACE bagaimanapun menguncup 34.99 mata kepada 4,601.07.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 44.01 mata kepada 20,134.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.45 mata kepada 197.67, Indeks Perladangan menambah 33.43 mata kepada 9,007.20 manakala Indeks Tenaga turun 2.08 mata kepada 835.63.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.38 bilion berbanding 1.74 bilion unit bernilai RM2.27 bilion, semalam.
Dagangan waran turun kepada 871.29 juta unit bernilai RM113.70 juta daripada 918.52 juta unit bernilai RM146.22 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 319.05 juta unit bernilai RM96.14 juta berbanding 388.84 juta unit bernilai RM132.46 juta semalam.
Kaunter pproduk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 219.52 juta saham diniagakan di Pasaran Utama dan diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (288.34 juta), pembinaan (161.44 juta), teknologi (305.67 juta), perkhidmatan kewangan (62.40 juta), hartanah (192.77 juta), perladangan (29.78 juta), amanah pelaburan hartanah (18.05 juta), dana tertutup (18,000), tenaga (160.97 juta), penjagaan kesihatan (106.99 juta), telekomunikasi dan media (26.68 juta), pengangkutan dan logistik (48.49 juta), utiliti (45.50 juta) serta amanah perniagaan (314,700).
-- BERNAMA