BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Niaga Hadapan MSM Teruskan Kenaikan, Dipacu Pasaran Kukuh Minyak Sayuran Di China

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, meneruskan peningkatan sejak Jumaat lepas.

Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata kenaikan itu disokong oleh kenaikan ketara harga niaga hadapan minyak sayuran berkaitan di Bursa Komoditi Dalian, diperkukuhkan lagi dengan jangkaan bekalan terhad akibat cuaca buruk serta data terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi Disember.

“Peniaga tidak menumpukan perhatian kepada data eksport Malaysia yang kurang memberangsangkan untuk 10 hari pertama bulan ini kerana lebih menekankan mengenai cabaran bekalan pada Januari selepas Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) memaklumkan pengeluaran untuk 10 hari pertama menyusut 3.84 peratus berbanding tempoh sama pada Disember 2024,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng, berkata harga MSM melonjak melebihi RM4,450 di tengah-tengah harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang lebih kukuh.

Beliau berkata pengeluaran yang dijangka lemah turut dilihat sebagai faktor sokongan bagi pasaran dalam jangka masa terdekat ini dengan paras sokongan pada RM4,400 satu tan dan rintangan pada RM4,600 satu tan.

 Pada penutupan dagangan, kontrak Januari 2025 meningkat RM105 kepada RM4,815 satu tan, Februari 2025 menokok RM95 kepada RM4,656 satu tan, Mac 2025 naik RM109 kepada RM4,500 satu tan, April 2025 menokok RM107 kepada RM4,392 satu tan, Mei 2025 menambah RM97 kepada RM4,306 satu tan dan Jun 2025 meningkat RM80 kepada RM4,247 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 75,523 lot daripada 77,607 lot Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 221,834 kontrak berbanding 229,080 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan meningkat RM110 kepada RM4,870 satu tan.

-- BERNAMA