BERITA TERKINI   SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | 

Takaful Ikhlas Lancar GO Serve Bagi Kecekapan Dalam Pengurusan Takaful

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) melancarkan GO Serve, sebuah portal pelanggan layan diri bersepadu yang inovatif  bagi menyediakan akses lancar dan segera untuk pelanggan melihat dan menguruskan sijil takaful masing-masing.

Presiden Sementara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata platform itu menyediakan akses sepanjang masa dan membolehkan pengguna menguruskan takaful mereka dengan cekap tanpa bergantung sepenuhnya kepada pusat hubungan.

“Apabila menggabungkan fungsi penting dalam satu portal yang mesra pengguna, kami meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dan menggalakkan kebebasan dalam menguruskan perlindungan kewangan mereka.

“Menerusi alat seperti ‘chatbot’ dijana kecerdasan buatan, IVA Chatbot, kami menyediakan sokongan yang boleh dipercayai dan segera setiap kali diperlukan, yang menunjukkan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap titik interaksi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selepas beroperasi secara langsung pada Oktober 2024, GO Serve dan IVA Chatbot telah menerima maklum balas pengalaman pengguna yang baik, serta meningkatkan penggunaan layan diri daripada 20 peratus kepada 50 peratus pada Disember 2024, tambahnya.

GO Serve juga membolehkan pelanggan mengemukakan dan menjejaki tuntutan mengikut masa sebenar sekali gus memberikan ketelusan sepenuhnya  sepanjang proses itu.

Menurut Takaful Ikhlas sehubungan itu pelanggan mempunyai kejelasan penuh mengenai status tuntutan mereka, daripada proses penyerahan hingga selesai.

“Melalui GO Serve, pelanggan boleh membuat pembayaran secara terus melalui platform itu, menerima peringatan, dan sentiasa peka untuk pembaharuan bagi mengelakkan kelewatan atau gangguan perkhidmatan,” jelasnya.

Pelanggan yang ingin mendaftar boleh melakukannya melalui https://go.takafulikhlas.com.my/goserve/.

-- BERNAMA