BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

HDC Bantu Tingkat Integriti Halal, Pulih Imej Syarikat

PETALING JAYA, 16 Jan (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) komited membantu syarikat di Malaysia memahami proses pengurusan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi meningkatkan integriti halal dan memulihkan imej syarikat terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari, berkata bantuan HDC merangkumi latihan, konsultasi, dan langkah pemulihan imej syarikat yang menghadapi isu status halal produk mereka.

“Malaysia sangat sensitif terhadap isu halal, dan HDC berusaha membantu syarikat yang menghadapi masalah ini dengan menyediakan penyelesaian agar mereka terus cemerlang dalam pasaran halal global.

“Contohnya, ketika isu status halal coklat melibatkan sebuah syarikat, HDC adalah antara pihak pertama yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu syarikat itu memulihkan imej dan memberi penerangan lebih jelas kepada pengguna,” katanya pada sesi penerangan media bertajuk The Halal Economy and Its Impact on Malaysia di One World Hotel, Bandar Utama City Centre, hari ini.

Hairol Ariffein juga memaklumkan bahawa HDC sedang berunding dengan sebuah lagi syarikat yang menghadapi isu produk makanan yang diragui status halal.

Sementara itu, Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun, mencadangkan kursus penyembelihan halal, dimasukkan ke dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di GiatMARA.

“Kursus ini menawarkan peluang pekerjaan yang baik, terutama di negara yang sedang mengembangkan industri makanan halal seperti Jepun, Korea, dan Uruguay. Sebagai contoh, di Jepun, permintaan terhadap penyembelih halal sangat tinggi dengan tawaran gaji lumayan,” katanya.

Beliau berkata penyembelih halal di Uruguay boleh memperoleh pendapatan antara USD1,500 hingga USD2,000 sebulan dengan penginapan percuma serta kontrak kerja antara dua hingga tiga tahun. Selain itu, mereka juga berpeluang meningkatkan kerjaya sebagai tukang daging premium.

 Pada tahun lepas, HDC telah menghantar empat rakyat Malaysia ke Korea untuk menjadi penyembelih halal di pusat pemprosesan daging sebagai usaha memperluaskan pasaran halal, katanya.

-- BERNAMA