BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah berukuran 2.5 berlaku di Segamat pada 7.56 malam, gegaran dirasai sekitar Johor - MetMalaysia | Liga Super: Imigresen FC 0-3 JDT | RUU Pekerja Gig 2025 lulus, bukti komitmen Kerajaan MADANI pastikan pekerja Gig terima perlindungan sosial - TPM Ahmad Zahid | Nilai ambang persetujuan dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar akan dipinda selepas ambil kira pandangan pelbagai pihak - Nga | Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 | 

Cadangan Penyahsenaraian MAHB Catat Kemajuan - GDA

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dan pemegang sahamnya (konsortium) telah mengurangkan syarat penerimaan tawarannya kepada 85 peratus daripada jumlah saham terbitan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ini bertujuan untuk membolehkan pengendali lapangan terbang itu dinyahsenaraikan, kata konsortium itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini. 

Konsortium itu berkata GDA menjangka mengisytiharkan tawaran itu tanpa syarat dan yakin jumlah penerimaan akan melebihi 90 peratus dan MAHB akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia berikutan penerimaan berjumlah 86.5 peratus.

"Serentak dengan itu, konsortium telah menyemak semula tarikh tutup tawaran kepada 4 Feb, 2025, dan mengisytiharkan harga tawaran RM11.00 adalah muktamad dan tidak akan disemak lagi.

"Harga tawaran, yang perlu dibayar sepenuhnya secara tunai sejurus selepas tawaran diisytiharkan tanpa syarat, memberikan pemegang saham premium 44 peratus kepada harga saham MAHB setahun lalu (19 Jan 2024) iaitu sebanyak RM7.64," katanya.

Konsortium itu juga berpandangan prestasi kurang memberangsangkan operasi dan kewangan MAHB akan berterusan jika ia terus kekal disenaraikan.

Selain itu, katanya, transformasi MAHB perlu dilakukan sebagai entiti swasta, disokong oleh pelabur strategik dan kewangan yang boleh mengambil pendekatan jangka panjang untuk membuat keputusan dan pelaburan modal.

 -- BERNAMA