BERITA TERKINI   Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | Agong titah rakyat berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dan kecurian identiti | 

Fajarbaru Jangka GDV RM2 Bilion Untuk Fasa Satu Medi-City Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 20 Jan (Bernama) -- Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) menjangkakan projek fasa satu Medi-City di Batu Kawan, Pulau Pinang, yang akan datang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutifnya Datuk Seri Eric Kuan berkata 30 peratus pembangunan dalam fasa satu akan terdiri daripada komponen-komponen perubatan.

“Ini termasuklah hospital pakar dengan 200 katil, pusat kesejahteraan dan kompleks penjagaan kesihatan.

“Dalam fasa satu, pembangunan itu turut merangkumi pembinaan FBG Global Park yang berfungsi sebagai kawasan komersial, sekolah antarabangsa dan kawasan kediaman iaitu pangsapuri perkhidmatan dan vila,” katanya selepas sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar berkata pihaknya menjangkakan fasa pertama Medi-City akan dibangunkan sepenuhnya dalam masa kira-kira lima hingga lapan tahun, manakala untuk menyiapkan keseluruhan projek mengambil masa 15 tahun.

“Ini merupakan projek jangka panjang. Ia akan menjadi projek pemangkin untuk Batu Kawan kerana kami menjangkakan hospital dengan 1,000 katil bagi keseluruhan kawasan projek pembangunan seluas 95.42 hektar,” katanya.

Aziz berkata projek ini juga akan menjadi pusat sehenti untuk kemudahan perubatan di Pulau Pinang dan Wilayah Utara.

"Kami sedang memikirkan untuk memberi perkhidmatan kepada negara ASEAN yang lain dan itulah visi kami untuk projek ini," katanya.

Terdahulu, FBG dan PDC menandatangani perjanjian pembelian dan pembangunan induk untuk fasa pertama projek Penang Medi-City.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

-- BERNAMA