Malaysia Sentiasa Suarakan Kelebihan ASEAN Di Pentas Dunia Demi Kemakmuran Bersama
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kelebihan dan kekuatan ASEAN sentiasa disuarakan di pentas global oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan beliau, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menjana kemakmuran di rantau ini.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pendekatan kepimpinan Perdana Menteri di pelbagai platform dunia sama ada politik dan ekonomi akan memberi manfaat kepada ASEAN.
“Ucapan Perdana Menteri, ketika saya sempat mengikuti beliau selama 12 hari dari UAE (Emiriah Arab Bersatu) hingga ke (Forum Ekonomi Dunia 2025) Davos (di Switzerland), antara perkara yang beliau sering sebut adalah peranan Malaysia dalam memastikan ASEAN mendapat impaknya (hasil).
“Antaranya (mengenai) Grid Tenaga ASEAN, projek mega yang melibatkan hampir sembilan negara, yang menuntut bukan sahaja sumber kewangan malah juga sumber tenaga, orang yang boleh bekerja, sumber pengetahuan kerana melibatkan tenaga baharu, yang akan memberi manfaat kepada rantau ini,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi bagi mengupas tajuk '2025: Tahun Peluang atau Tekanan Ekonomi?’ dihoskan oleh Shuhadah Armawan dan diterbitkan oleh Bernama TV.
Ketika ditanya cara Malaysia bersedia untuk menghadapi ancaman global, merujuk kepada perang perdagangan Amerika Syarikat-China memandangkan kebergantungan negara kepada eksport, Shamsul Iskandar berkata keadaan itu dineutralkan melalui pendekatan Anwar yang sentiasa melakukan "engagement" dan persefahaman.
"Apabila melakukan 'engagement', maksudnya beliau tidak gentar untuk berdepan dan bertemu dengan pimpinan dunia ini. Sekarang ini beliau memimpin ASEAN. Saya boleh kongsikan rapatnya beliau dengan pemimpin ASEAN, kadang-kadang (beliau) telefon dan sebagainya.
"Jadi, (ini) menunjukkan bahawa dari satu segi, sebagai pemimpin...kita (Malaysia) ada hubungan yang sangat rapat dan memahami antara satu sama lain," katanya.
Beliau berkata seperti inisiatif penting Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di bawah kepimpinan Anwar adalah usaha yang baik dan sedang mengubah landskap ekonomi negara.
Kerjasama itu bukan sahaja menandakan keterbukaan kedua-dua negara malah juga dijangka membawa perdagangan, pelaburan, dan peluang perniagaan rentas sempadan bagi Malaysia-Singapura, katanya.
Beliau berkata pendirian Perdana Menteri yang lantang dalam isu global seperti sokongan terhadap Palestin telah membawa Malaysia ke barisan hadapan dalam diplomasi antarabangsa.
“Nampak jelas dari segi kepimpinan, Perdana Menteri tidak lagi pandang ke belakang, jalan ke depan dan menyatakan dengan tegas pendirian kita (Malaysia).
"Dalam masa sama, mengajak mereka untuk datang ke Malaysia dan meneroka peluang perniagaan dan pelaburan," katanya.
-- BERNAMA