Khazanah Teruskan Usaha Pempelbagaian, Perkukuh Portfolio Global Pada 2025

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd akan terus mempelbagai dan mengukuhkan portfolio globalnya pada 2025 walaupun berdepan persekitaran tidak menentu dan mencabar, kata Pengarah Urusannya Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Pada masa sama, beliau menegaskan strategi kumpulan bagi kemajuan masa depan adalah memacu penciptaan nilai bagi Malaysia, malah telah bertindak merangka perancangan berkaitan bagi tahun ini.

“Kami akan meneruskan pempelbagaian dan mengukuhkan lagi portfolio global berikutan usaha itu yang terbukti membantu.

“Namun, kami turut merangka program-program bagi pelaburan domestik. Bagi saya, anda akan menyaksikan lebih banyak usaha tertumpu dalam pelaburan secara domestik,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2025 hari ini.

Pada sesi taklimat portfolio pelaburan kelas aset Khazanah setakat 31 Dis, 2024, Amirul Feisal berkata pasaran awam Malaysia mewakili 57.5 peratus daripada portfolio pelaburan dana kekayaan negara itu yang membawa pulangan sebanyak 34.3 peratus manakala pasaran awam global sebanyak 17.4 peratus dengan pulangan 10.9 peratus pada tahun lepas.

Selain itu, pasaran swasta mewakili 16.5 peratus daripada portfolionya dengan pulangan -6.6 peratus dan aset sebenar sebanyak 8.6 peratus dengan pulangan -3.5 peratus.

Menjelaskan selanjutnya, Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah Datuk Hisham Hamdan berkata portfolio dana kekayaan akan menumpukan Malaysia pada sekitar 60 peratus.

"Kami sentiasa menseimbangkan semula pelaburan kami dan nisbahnya kekal melebihi sedikit 60 peratus di Malaysia.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran maju telah menunjukkan prestasi amat baik dan tahun lepas, (prestasi) Malaysia juga sangat baik (dan ini) sesuatu kami perlu sentiasa pantau dan imbangi semula secara sewajarnya untuk meraih pulangan optimum dalam apa juga risiko," katanya.

Dalam pada itu, menyentuh prospek 2025, Amirul Feisal menekankan aspek mega trend atau aliran mega global yang dijangka terus mempengaruhi persekitaran global dalam jangka pertengahan yang turut memberi impak ketara.

Perkara yang menjadi tumpuan adalah dasar-dasar Amerika Syarikat (AS) yang memberi impak besar ke atas ekonomi global susulan pendirian Presiden Donald Trump mengetengahkan dasar baharu yang lebih memihak kepada perniagaan domestik.

“Ini agak (memberi kesan) inflasi dan berkemungkinan besar menyaksikan kadar faedah tinggi lebih lama dan pada masa sama menyebabkan pengukuhan dolar AS yang ketara. Keadaannya tidak mudah dan atas alasan itu, anda akan menyaksikan senario yang lebih tidak menentu.

“Beliau (Trump) akan melakukan banyak perubahan dasar berkaitan tarif membabitkan perdagangan dengan negara-negara lain.

“Ia akan turut meningkatkan lagi ketegangan geopolitik selain pemecahan perdagangan. Inilah persekitaran yang bakal disaksikan dalam usaha melangkah ke hadapan,” katanya.

-- BERNAMA