BIMB Holdings Jalin Usaha Sama Dengan RELDYN Bagi Pacu Kewangan Digital Patuh Syariah

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menerusi anak syarikat milik penuhnya, BIMB Holdings Sdn Bhd (BIMB Holdings) mengadakan usaha sama strategik dengan RELDYN Tech Sdn Bhd (RELDYN) bagi memacu lanskap kewangan digital patuh Syariah.

Perjanjian usaha sama antara kedua-dua pihak dimeterai hari ini bagi menubuhkan FINODYN Sdn Bhd (FINODYN) iaitu entiti teknologi kewangan yang akan menawarkan platform teknologi kewangan, perisian dan perkhidmatan terkini kepada pasaran.

Menerusi usaha sama ini, BIMB Holdings akan menguasai 40 peratus ekuiti, manakala RELDYN memegang baki 60 peratus ekuiti dalam FINODYN.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata bank itu memanfaatkan teknologi terkini bagi membina tenaga kerja berdaya saing yang memacu inovasi dan memastikan pengalaman perbankan digital yang lancar serta cekap kepada pelanggan.

Katanya, transformasi digital Bank Islam tertumpu kepada inovasi berterusan, rangkuman kewangan dan kesediaan masa depan.

“Dengan memanfaatkan teknologi dengan penuh tanggungjawab, memupuk perkongsian strategik dan menerima perubahan digital, kami kekal komited untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan masyarakat.

“Pelaburan kami dalam kewangan dan modal insan dalam pendigitalan merupakan persediaan bank bagi menghadapi masa depan kerana ia bukan satu pilihan tetapi satu kemestian,” katanya dalam ucaptama pada majlis “In Conversation Series: Building a Future-Ready Bank” hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital Kumpulan Bank Islam Noor Farilla Abdullah berkata usaha sama antara BIMB Holdings dan RELDYN bertujuan memasarkan dan menjual perisian serta platform berkaitan kewangan Islam dan perbankan Islam.

“Ia merupakan salah satu cara kami untuk mempelbagaikan penyelesaian perbankan Islam dan kewangan Islam.

“Segmen pelanggan bagi usaha sama ini merupakan entiti perniagaan ke perniagaan (B2B),” katanya. 

FINODYN akan menggunakan model B2B dengan fokus kepada penyampaian platform kewangan dan perbankan yang menawarkan penyelesaian kewangan patuh Syariah, perundingan, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan bagi mempelbagaikan perniagaan serta organisasi.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai oleh Pengerusi BIMB Holdings Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff dan CEO RELDYN JayaPrasad Rao Ethamukkala, dengan disaksikan oleh Mohd Muazzam dan Pengarah RELDYN Jaya Malar Arumugam.

Perkongsian itu sejajar dengan pelan pertumbuhan lima tahun Bank Islam, LEAP25, yang memberi penekanan kepada transformasi digital sebagai pemacu utama kemampanan jangka panjang.

Ia juga membolehkan Bank Islam memperkenalkan perbankan Islam sebagai perkhidmatan (iBaaS).

Selain itu, usaha sama itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa strategik. Fasa awal akan mengambil masa sehingga dua tahun, memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan infrastruktur, diikuti dengan fasa jualan yang lebih agresif bagi mempercepatkan penembusan pasaran.

-- BERNAMA