BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

INSKEN Sasar Latih 25,000 Usahawan, Tumpu Golongan B40

PASIR SALAK, 6 Feb (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyasarkan untuk melatih 25,000 usahawan menerusi program latihan dan bimbingan bersama agensi serta jabatan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Mustaffa Kamil Ayub berkata usahawan yang dilatih tahun lepas menunjukkan prestasi cemerlang, dan kebanyakan daripada mereka mampu meningkatkan nilai jualan selepas mengikuti program bimbingan institut berkenaan.

“INSKEN akan menganjurkan pelbagai program dan latihan keusahawanan yang direncanakan pada tahun ini dengan harapan dapat membimbing usahawan yang disasarkan di seluruh negara. 

“Tahun lepas kita sasar 10,000 tetapi kita berjaya melatih 13,000 usahawan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Kemahiran dan Keusahawanan serta Pematuhan Peraturan Operator Pelancongan Daerah Perak Tengah, Bagan Datuk di Dewan Millenium Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah. 

Mustaffa Kamil berkata INSKEN juga akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan, terutama dalam kalangan golongan B40 dan asnaf. 

Beliau berkata langkah itu dilihat mampu membantu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan kerana berniaga antara punca rezeki yang terbesar. 

“Kita tawarkan pelbagai inisiatif, sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara dan menjadi fokus kita menyahut saranan kerajaan untuk terus bantu golongan terlibat,” katanya. 

Beliau berkata INSKEN juga akan menjalankan kolaborasi strategik dengan pelbagai NGO berkaitan agar dapat memberikan impak lebih besar. 

“Justeru, kerjasama strategik ini diperlukan untuk memenuhi jurang bagi mencapai matlamat yang sama iaitu membantu usahawan memajukan perniagaan mereka,” katanya.

-- BERNAMA