IPO TechStore Terlebih Langgan 96.66 Kali

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT) perusahaan, TechStore Bhd telah terlebih langgan sebanyak 96.66 kali sebelum ia disenaraikan pada Pasaran ACE Bursa Malaysia oleh pelabur runcit.

TechStore melalui satu kenyataan hari ini berkata ia akan mempunyai terbitan awam berjumlah 125 juta saham baru dengan harga terbitan RM0.20 sesaham. 

“Ini mewakili 25 peratus daripada modal saham yang diperbesar, dengan RM25 juta dijangka dinaikkan menerusi terbitan awam,” katanya. 

"Selain itu, terdapat tawaran bagi penjualan 25 juta saham sedia ada melalui tawaran awam persendirian kepada pelabur terpilih," kata kenyataan itu. 

Syarikat itu turut menerima 23,333 permohonan untuk 2.44 bilion saham, bernilai kira -kira RM488 juta merangkumi 25 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, yang mewakili kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 100 kali.

“Sejumlah 11,890 permohonan bumiputera untuk 1.1 bilion saham telah diterima, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 86.83 kali, manakala bagi bahagian awam, 11,443 permohonan telah dikemukakan untuk 1.34 bilion saham, mengakibatkan kadar terlebih langgan 106.48 kali,” katanya.

Sementara itu, TechStore berkata 25 juta saham yang tersedia untuk permohonan oleh pengarah, kakitangan serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat itu telah dilanggan sepenuhnya.

"Di samping itu, tawaran awam persendirian sebanyak 12.5 juta saham dan 25 juta saham telah ditawarkan kepada pelabur terpilih, bersama dengan tawaran awam persendirian sebanyak 62.5 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), juga telah habis sepenuhnya," kata Techstore. 

Pengarah Urusan Techstore Tan Hock Lim berkata dana yang dikumpukan akan membolehkan syarikat itu mempercepatkan pelan pengembangan syarikat.

“Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian IT lanjutan, didorong oleh teknologi terkini seperti 5G termasuk pendigitalan infrastruktur awam, kami komited untuk memberikan penyelesaian yang berkualiti tinggi dan inovatif yang mampu menangani keperluan pelanggan kami selain menyokong kemajuan digital negara,” katanya.

Daripada IPO sebanyak RM25 juta, syarikat itu telah memperuntukkan RM11.5 juta (45.9 peratus) untuk modal kerja serta RM2.7 juta (10.9 peratus) bagi tujuan pengambilan kakitangan pembangunan perniagaan.

“Selain itu, RM2.3 juta (9.2 peratus) telah diperuntukkan untuk perbelanjaan modal ke atas peralatan, komputer, perkakasan dan perisian IT, serta penubuhan pejabat cawangan Johor Bahru yang baharu.

“Sejumlah RM5 juta (20 peratus) pula diperuntukkan untuk membayar pinjaman bank, manakala baki RM3.5 juta (14 peratus) akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian,” katanya lagi.

Syarikat itu dijadualkan disenaraikan menjelang 18 Feb 2025, dengan permodalan pasaran awal sebanyak RM100 juta berdasarkan harga terbitan.

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk langkah IPO kali ini.

-- BERNAMA