Bursa Malaysia Susut Pada Tengah Hari, Indeks Komposit Turun 1.9 Mata

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Peningkatan saham wajaran tinggi telekomunikasi  mengehadkan penyusutan indeks petunjuk utama Bursa Malaysia pada dagangan tengah hari Isnin, di tengah-tengah kebimbangan berterusan mengenai inflasi Amerika Syarikat (AS) serta ancaman tarif oleh Presiden Donald Trump.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.90 mata kepada 1,589.01 berbanding 1,590.91 pada Jumaat lepas.

Indeks berkenaan dibuka susut 3.26 mata kepada 1,587.65 pagi ini dan seterusnya bergerak dalam julat 1,584.20 hingga 1,590.20 sepanjang sesi dagangan awal.

Setakat tengah hari ini, kaunter  rugi mengatasi untung iaitu 526 berbanding 309 dengan 453 kaunter tidak berubah, 1,042 tidak didagangkan dan 22 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.86 bilion unit bernilai RM902.36 juta.

Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank berkata ketidaktentuan pasaran dijangka ketara dalam separuh pertama minggu ini namun pulih kemudiannya dengan syarat Trump dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai perancangan tarif.

Trump telah menyatakan untuk berkongsi pelan tarifnya pada Selasa atau Rabu ini.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada data inflasi harga pengguna AS, Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar pada Rabu dan Khaamis yang boleh mempengaruhi keputusan Fed berhubung kadar faedah, kata Kenanga dalam nota penyelidikannya hari ini.

Di peringkat tempatan, pelabur akan menumpukan data Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku keempat 2024 pada Jumaat dengan pertumbuhan tahun ke tahun diunjur pada 4.8 peratus manakala pertumbuhan setahun penuh pada 5.1 peratus.

“Secara teknikal, carta mingguan memaparkan potensi pembalikan arah aliran daripada aliran menurun kepada aliran menaik.

“Bagaimanapun, kenaikan ketara pada minggu lepas boleh mengundang aktiviti pengambilan untung yang berkemungkinan menyebabkan momentum terhenti pada separuh pertama minggu ini," katanya.

Di peringkat serantau, pasaran memaparkan aliran bercampur-campur dengan prestasi indeks utama Hang Seng, Straits Times dan Nikkei dalam wilayah positif yang berpotensi menyuntik beberapa pemangkin untuk bursa tempatan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Axiata mendahului dengan menokok tujuh sen kepada RM2.28, diikuti oleh CelcomDigi yang naik empat sen kepada RM3.82 manakala Petronas Dagangan menambah 18 sen to RM19.70.

Sebaliknya, MISC mendahului saham rugi apabila susut 12 sen kepada RM7.26, YTL Power turun enam sen kepada RM3.38 manakala Gamuda berkurangan lapan sen kepada RM4.48.

Bagi saham aktif, Borneo Oil tidak berubah pada 1.0 sen, Colform Group yang baru disenaraikan melonjak 2.5 sen kepada 38.5 sen manakala Harvest Miracle Capital dan TWL menokok setengah sen masing-masing kepada 17.5 sen dan 3.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 19.87 mata kepada 12,129.66, Indeks FBMT 100 susut 19.68 mata kepada 11,820.38 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 29.76 mata kepada 11,955.88.

Indeks FBM ACE menguncup 16.20 mata kepada 5,244.15 manakala Indeks FBM 70 merosot 51.60 mata kepada 17,981.93.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1.25 mata kepada 19,234.69, Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian turun 0.47 mata kepada 166.04, Indeks Tenaga susut 0.19 mata kepada 826.25 manakala Indeks Perladangan berkurangan 5.05 mata kepada 7,448.85.

-- BERNAMA