CPOPC Unjur Pengeluaran Minyak Sawit Catat Pertumbuhan Sderhana Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) menjangkakan peningkatan pengeluaran minyak sawit tahun ini di Malaysia, Indonesia, Honduras, dan Papua New Guinea berbanding dengan tahap pengeluaran pada 2024.

Menerusi Laporan Tahunan Pasaran & Prospek 2025, CPOPC menjelaskan walaupun pengeluaran Indonesia dijangka pulih, namun faktor seperti hasil tidak berubah dan berkurangan, peningkatan bilangan pokok tua dan tidak produktif, serta kadar penanaman semula yang rendah mungkin menyebabkan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang marginal.

Keadaan cuaca hujan pada suku keempat 2024, berpanjangan sehingga 2025 disebabkan oleh fenomena serantau termasuk monsun dan La Nina yang sederhana berlarutan, dengan peralihan kepada El Nino-Ayunan Selatan yang neutral mungkin berlaku antara Mac hingga Mei 2025, boleh menjejaskan pengeluaran keseluruhan.

“Ketidakpastian keadaan cuaca akan mempengaruhi dalam menentukan pengeluaran dan hasil minyak sawit pada 2025," katanya.

Dari segi permintaan, CPOPC menjangkakan permintaan minyak sawit tinggi tahun ini, didorong oleh penggunaan domestik yang lebih tinggi di Indonesia untuk biodiesel, pengisian semula stok di negara pengimport utama seperti China dan India, serta bekalan minyak sayuran lain seperti minyak bunga matahari yang terhad.

 

Permintaan minyak sawit dijangka meningkat

 

CPOPC menjangkakan permintaan minyak sawit terus meningkat, dipacu oleh negara pengimport utama di Asia termasuk kalangan negara ASEAN, serta peningkatan permintaan di Afrika terutamanya di Mesir, Kenya, dan Nigeria.

Majlis itu juga optimistik bahawa minyak sawit akan kekal sebagai komoditi perdagangan yang memberangsangkan pada 2025 dan terus berada pada harga premium berbanding minyak kacang soya.

“Ini disokong oleh unjuran permintaan yang positif, termasuk musim perayaan, pelaksanaan program B40 di Indonesia, stok berkurangan di negara pengeluar dan pengeluaran rendah secara bermusim dalam beberapa bulan akan datang,” tambahnya.

Oleh itu, minyak sawit dijangka didagangkan dalam julat US$1,000 satu tan hingga US$1,200 satu tan pada suku pertama 2025.

Bagaimanapun, minyak sawit dijangka diniagakan rendah pada separuh kedua 2025 disebabkan kitaran pengeluaran hasil tinggi mengikut musim dan musim penuaian untuk biji sesawi dan biji bunga matahari.

 

Industri biobahan api global dunjurkan terus berkembang

 

Menurut data Oil World, pengeluaran biodiesel global termasuk minyak sayuran rawatan hidro (HVO) adalah 64.14 juta tan pada 2024, peningkatan 8.4 peratus daripada 59.18 juta tan pada 2023, dengan minyak sawit menyumbang 33 peratus kepada jumlah bahan mentah yang digunakan.

CPOPC menjangkakan pertumbuhan positif yang dicatatkan industri biobahan api global pada 2024 berterusan pada 2025, disokong terutamanya oleh peningkatan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF) dan mandat biobahan api di negara pengeluar minyak sayuran utama.

Indonesia dan Brazil akan terus meningkatkan penggunaan biobahan api menerusi mandat domestik untuk biobahan api masing-masing.

“Inisiatif kemampanan yang berterusan untuk pengangkutan jalan raya, industri penerbangan dan industri maritim dijangka menyokong pertumbuhan industri biobahan api global,” tambah majlis itu.

Laporan itu juga menjelaskan bahan mentah yang digunakan untuk pengeluaran biodiesel pada 2025 dijangka meningkat sedikit dengan minyak sawit sebanyak 3.5 peratus diikuti dengan minyak masak terpakai (1.5 peratus) dan minyak kacang soya (1.2 peratus).

-- BERNAMA