BERITA TERKINI   Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | 

Kinergy Advancement, PKNPK Bekerjasama Bangunkan 29 Projek TBB Di Perak

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kinergy Advancement Bhd (KAB) melalui anak syarikat milik penuhnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Kerjasama yang terjalin itu untuk pembangunan 29 projek tenaga boleh baharu (TBB) yang berpotensi di negeri berkenaan dengan kapasiti melebihi 1,800 megawatt (MW).

Penyedia penyelesaian tenaga dan agensi Perak itu berkata dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak akan mengenal pasti, menilai dan membangunkan projek TBB di Perak dengan memanfaatkan kepakaran teknikal KAB untuk memacu pembangunan tenaga yang inovatif.

“Sejajar dengan Perak Sejahtera 2030 Flagship 12: Sumber Air dan TBB, kerjasama ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan tenaga Perak tetapi juga menyumbang kepada matlamat negara yang lebih luas iaitu pembangunan tenaga mampan dan TBB.

"Inisiatif di bawah kerjasama ini secara langsung menyokong objektif untuk meningkatkan kecekapan sumber air dan menggalakkan penggunaan TBB, menandakan satu langkah penting ke arah mencapai sasaran kelestarian jangka panjang Malaysia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif KAB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Lai Keng Onn berkata kerjasama ini membolehkan kumpulan menawarkan kepakaran bagi memacu pembangunan lestari dan secara bersama meneroka potensi tenaga di Perak.

Katanya, pihaknya juga dalam perancangan menjalankan projek berkapasiti penjanaan tenaga sebanyak 50 MW.

"Melalui kerjasama dengan PKNPk, kami dapat mempercepatkan pembangunan infrastruktur tenaga lestari serta memperkukuhkan kedudukan Perak sebagai peneraju dalam peralihan TBB dan bersih di Malaysia."

"Kerjasama ini akan membawa manfaat perubahan di peringkat negeri dan nasional, membuka jalan ke arah masa depan yang lebih kukuh," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata dengan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih, ia memerlukan penyelesaian tenaga yang teguh, fleksibel selain boleh diperbaharui serta penyimpanan untuk menyeimbangkan penawaran dan permintaan dengan berkesan.

"Dengan kepakaran KABEH dalam TBB selain peranan strategik PKNPk dalam memacu pembangunan negeri terutamanya dalam infrastruktur tenaga dan dasar, kami yakin kerjasama ini akan membuka potensi besar tenaga hidro serta solar di Perak," katanya.

-- BERNAMA