Krisis Tenaga Global Tingkat Daya Tarikan Minyak Sawit Malaysia Di Pasaran Asia -- Noraini
PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Permintaan terhadap minyak sawit dijangka terus meningkat daripada negara pengimport tradisional komoditi itu seperti China dan India dipacu oleh ketidaktentuan geopolitik global serta keperluan keterjaminan tenaga dan makanan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata China, sebagai pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia menunjukkan kecenderungan meningkatkan stok komoditi berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gangguan logistik di Selat Hormuz.
Beliau berkata kebergantungan tinggi China terhadap import minyak dari Iran serta kenaikan harga tenaga global telah meningkatkan kos input industri hiliran mereka seperti oleokimia dan biodiesel sekali gus mendorong permintaan terhadap minyak sawit Malaysia sebagai alternatif yang lebih kompetitif.
“Memandangkan China mengimport hampir 90 peratus minyak dari Iran, kenaikan harga tenaga global meningkatkan kos input industri hiliran mereka (oleokimia dan biodiesel).
“Ini mendorong kepada permintaan terhadap minyak sawit Malaysia sebagai alternatif bahan mentah yang lebih kompetitif berbanding minyak kacang soya yang terkesan dengan tarif Amerika Syarikat,” beliau berkata kepada Bernama.
Noraini memberitahu hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan permintaan kini beralih kepada bahan mentah mampan selain komponen berteknologi tinggi selaras dengan tumpuan negara-negara berkenaan terhadap ekonomi hijau dan keterjaminan makanan.
Bagi India pula iaitu pengimport minyak sawit terbesar Malaysia, Noraini berkata pertumbuhan pesat sektor pembuatan dan infrastruktur negara itu terus melonjakkan permintaan terhadap komoditi utama negara, khususnya minyak sawit dan produk oleokimia.
Beliau berkata walaupun India berdepan tekanan inflasi susulan kenaikan harga minyak mentah global, minyak sawit kekal menjadi pilihan utama kerana kecekapan harganya berbanding minyak sayuran lain.
“Ketidaktentuan geopolitik menyebabkan harga minyak sayuran dunia meningkat seiring dengan harga mentah dan ini memberi tekanan kepada margin keuntungan pengimport di India, namun minyak sawit kekal sebagai pilihan utama kerana kecekapan harganya berbanding minyak sayuran lain,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini berkata kementerian memberi tumpuan kepada kepelbagaian nilai eksport dengan memperkukuh produk hiliran seperti oleokimia, lemak khusus dan farmaseutikal yang mempunyai permintaan lebih stabil walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.
Beliau berkata pendekatan itu turut disokong melalui kerjasama dua hala menerusi platform seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi China dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA).
Semalam, Kenanga Investment Bank Bhd berkata inventori minyak sawit mentah dijangka mencatatkan penurunan pada suku kedua tahun ini susulan permintaan eksport yang lebih tinggi apabila pembeli meningkatkan pegangan stok berikutan ketidaktentuan situasi gencatan senjata di Asia Barat.
Ia berkata inventori penutup bagi Mac terendah setakat tahun ini dan menambah bahawa di sebalik pengeluaran bulan ke bulan yang lebih kukuh, inventori minyak sawit ditutup 16 peratus lebih rendah pada Mac susulan lonjakan eksport ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 10 tahun.
Biodiesel sawit jadi taruhan strategik kurangkan kebergantungan bahan api fosil
Menyentuh mengenai usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import, Noraini berkata kerajaan komited meningkatkan penggunaan biodiesel sawit melalui pelaksanaan Program Biodiesel Negara.
“Kebergantungan terhadap bahan api fosil boleh dikurangkan melalui peningkatan adunan biodiesel kepada B20 dan B30,” katanya.
Beliau berkata pada masa ini, kebanyakan kawasan di Malaysia masih menggunakan adunan B10 bagi sektor pengangkutan, sekali gus menunjukkan ruang besar untuk peningkatan penggunaan biodiesel.
Menurutnya, pengeluaran biodiesel negara pada 2025 adalah sebanyak 975,207.29 tan berbanding kapasiti maksimum 2.36 juta tan yang menunjukkan loji biodiesel masih beroperasi di bawah kapasiti sebenar.
Dalam perkembangan terkini, Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada Selasa berkata kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan bagi memanjangkan lagi ketersediaan bekalan diesel negara berikutan krisis di Asia Barat.
Beliau berkata pelaksanaan B10 yang sedang berjalan membuktikan asas pelaksanaannya telah wujud sekali gus membolehkan peningkatan adunan biodiesel dilaksanakan menggunakan infrastruktur sedia ada.
“Sebagai langkah jangka sederhana kita mesti mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu supaya sumber tenaga yang lebih terjamin secara domestik.
“Dalam konteks ini, kerajaan bukan sahaja menstabilkan bekalan dan harga tetapi juga membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” katanya pada taklimat krisis tenaga global semalam.
-- BERNAMA