BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Taman Perindustrian Ekonomi Biru Bakal Dibangunkan Di Kudat - Hajiji

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Sabah memanfaatkan potensi ekonomi biru melalui penubuhan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) di Kudat bagi memacu ekonomi dan pembangunan negeri, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata penubuhan BEIP diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Sabah pada minggu lepas yang akan mengubah bahagian utara negeri berkenaan khususnya Kudat sebagai bandar perindustrian baharu.

Katanya, BEIP juga berupaya menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai sektor ekonomi biru termasuk perikanan, pelancongan marin, farmaseutikal, marikultur (penternakan tumbuhan dan haiwan akuatik marin) serta tenaga boleh baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Penjawat Awam 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa.

Hajiji berkata pembangunan BEIP merupakan sebahagian daripada Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dilaksanakan dari tahun 2026 hingga 2030.

Beliau menegaskan pembangunan ini akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan tersebut.

Katanya inisiatif berkenaan menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dalam membangunkan sektor ekonomi biru sebagai sumber baharu ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Sabah.

“Inisiatif ini juga selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan pembangunan negeri yang terangkum dan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pertumbuhan ekonomi Sabah dijangka berkembang pada kadar purata tiga hingga 4.5 peratus dalam tempoh pelaksanaan RMK-13.

“Pembangunan negeri akan dilaksanakan secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar di bawah RMK-13,” katanya.

Fokus utama akan diberikan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi melalui tiga sektor ekonomi utama iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan seiring dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri juga yakin dengan kestabilan politik dan semangat perpaduan, matlamat pembangunan ini dapat dicapai melalui kerjasama semua pihak. 

-- BERNAMA