Harga Emas Global Naik Ke Paras Tertinggi, Lonjak Niaga Hadapan Emas Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kukuh, seiring aliran meningkat pasaran emas global ketika harga melonjak ke paras tertinggi baharu kepada US$2,955 seauns.

Aliran meningkat itu berikutan petunjuk daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang mencadangkan perjanjian perdagangan dengan China mungkin boleh dicapai.

Kontrak semerta bulan Februari 2025 meningkat kepada US$2,954.30 setiap auns troy daripada US$2,946.50 pada Rabu, manakala kontrak Mac 2025 menaik kepada US$2,961.20 daripada US$2,953.60 setiap auns troy.

Kontrak April, Mei dan Jun 2025 masing-masing melonjak kepada US$2,971.40 setiap auns troy daripada US$2,963.80 pada Rabu.

Bagaimanapun, jumlah dagangan menyusut kepada 54 lot daripada 86 lot semalam, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 109 kontrak daripada 157.

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 19 Feb, harga emas fizikal berada pada US$2,936.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA