BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Sime Darby Jangka Bahagian Permotoran Hadapi Persaingan Sengit Tahun Ini

PETALING JAYA, 24 Feb (Bernama) -- Sime Darby Bhd (Sime Darby) menjangkakan persaingan sengit dalam bahagian permotorannya tahun ini, berikutan lebihan bekalan kenderaan dari China, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson.

Katanya, ketika ini terdapat pengeluaran berlebihan terutama oleh pengeluar peralatan asal (OEM) di China.

“Kami melihat sedikit lebihan kapasiti dalam eksport dan pemotongan harga yang berlaku di China kini dipindahkan ke pasaran lain.

“Ia akan kekal mencabar di China dan saya rasa ia akan menjadi lebih sukar di beberapa pasaran lain,” katanya pada taklimat media di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Motors Andrew Basham berkata sembilan cawangannya di China ditutup pada separuh pertama tahun kewangan 2025, dengan dua atau tiga lagi cawangan dijangka ditutup dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Dis, 2024, perolehan hasil bahagian permotoran merosot kepada RM17.45 bilion daripada RM18.80 bilion dalam tempoh sebelumnya, didorong oleh jumlah jualan yang rendah hingga memberi kesan kepada keuntungan.

Sementara itu, bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025, perolehan hasil bahagian permotoran bagi operasi automotif di Malayia berada pada RM3.79 bilion, China (RM6.41 bilion), Australasia (RM2.64 bilion), Singapura dan lain-lain (RM4.61 bilion). 

Penurunan dalam perolehan hasil bahagian permotoran daripada operasi automotif di China disebabkan oleh jumlah jualan kenderaan dan margin yang rendah.

Justeru, Sime Darby menjangkakan pembaharuan dasar tukar beli, kos pinjaman yang lebih rendah dan model kenderaan elektrik (EV) yang lebih mampu milik akan memacu pertumbuhan bahagian permotorannya di China pada 2025. 

Bagaimanapun, syarikat itu menyedari cabaran berterusan, termasuk persaingan sengit, pemotongan harga besar-besaran dan permintaan domestik yang lemah akan terus memberi tekanan kepada pasaran automotif.

-- BERNAMA