BERITA TERKINI   Pertikaian sempadan Kemboja-Thailand: Menteri Luar ASEAN sokong usaha Pengerusi ASEAN memudah cara kedua-dua pihak untuk sambung semula dialog, hentikan pertempuran | Pertikaian sempadan: Menteri Luar ASEAN gesa gencatan senjata segera, tamatkan permusuhan dan kedua-dua pihak kembali ke meja dialog | Agong berkenan kurnia Surat Cara Pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Wan Ahmad Farid di Istana Negara hari ini | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi

Oleh Karina Imran

 

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam persekitaran ketidaktentuan apabila peniaga meneliti laporan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) dan kesan dasar Presiden AS Donald Trump terhadap ekonomi AS, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.67 mata kepada 1,569.70 daripada 1,568.03 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.76 mata kepada 1,566.27.

Suasana pasaran negatif, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 186 berbanding 153 manakala 272 kaunter kekal tidak berubah, 1,765 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 217.23 juta unit bernilai RM123.31 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street terus menghadapi cabaran kerana peniaga bimbang mengenai keyakinan pengguna yang semakin merosot berikutan kesan dasar Trump terhadap ekonomi AS.

Beliau berkata sentimen keseluruhan juga dipengaruhi oleh langkah terbaharu AS untuk menyekat pelaburan China dalam teknologi, infrastruktur dan beberapa industri kritikalnya.

"Di peringkat tempatan, FBM KLCI jatuh di bawah paras 1,570 apabila jualan asing berterusan, seiring dengan penurunan serantau yang meluas," katanya kepada Bernama.

Thong menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,565-1,575 kerana keyakinan telah menurun.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah dua sen kepada  RM10.48 dan RM13.42, Public Bank naik satu sen kepada RM4.47, bagaimanapun IHH Healthcare merosot dua sen kepada RM7.29 manakala CIMB tidak berubah pada RM8.23.

Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang turun 0.5 sen kepada empat sen, SFP Tech jatuh 4.5 sen kepada 30 sen, manakala Richtech melonjak satu sen kepada 29.5 sen.

TWL dan Elridge Energy masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen and 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.90 mata kepada 11,769.19, Indeks FBMT 100 menambah 13.51 mata kepada 11,517.36, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 13.42 mata kepada 11,448.30 tetapi  Indeks FBM ACE merosot 24.34 mata kepada 4,784.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 14.57 mata kepada 19,160.18, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.16 mata kepada 158.86, bagaimanapun Indeks Tenaga merosot 0.84 mata kepada 753.56 dan Indeks Perladangan jatuh 16.80 mata kepada 7,465.80.

-- BERNAMA