BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

MITI Sedang Tentukan Sama Ada Undang-undang Malaysia Dilanggar Dalam Isu Penghantaran Cip AI

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi menentukan sama ada undang-undang Malaysia dilanggar berhubung dakwaan penghantaran cip kecerdasan buatan (AI) yang disekat oleh Amerika Syarikat (AS) dari Singapura ke Malaysia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan Malaysia mematuhi dan menghormati semua peruntukan undang-undang yang dipersetujui secara pelbagai hala mengenai perdagangan.

Namun, katanya, negara ini juga mempunyai sistem yang kukuh untuk memantau dan mengawal eksport, transit, pemindahan semula dan perantara barang-barang strategik di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).

"MITI ingin menegaskan Malaysia tetap tegas menentang mana-mana individu atau syarikat yang cuba mengelak kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram selain kekal komited untuk mempermudah perdagangan yang sah serta memupuk destinasi pelaburan yang selamat dan bertanggungjawab.

"Selain itu memastikan semua pelaburan yang berkaitan dengan teknologi seiring dengan amalan terbaik antarabangsa serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang dipersetujui secara pelbagai hala," katanya.

Pada masa yang sama, MITI akan terus bekerjasama rapat dengan AS dan Singapura untuk mencari kaedah yang berkesan bagi menangani isu perdagangan melibatkan cip yang disekat oleh AS.

"Walaupun Malaysia mengekalkan pendirian neutral terhadap sekatan satu pihak, syarikat yang beroperasi di Malaysia bagaimanapun dinasihatkan menyedari mengenai kawalan eksport pelbagai hala negara lain yang terpakai kepada aktiviti perniagaan antarabangsa mereka bagi mengelakkan sekatan sedemikian terhadap barang atau perkhidmatan mereka," katanya.

Pada Isnin lepas, dilaporkan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan didakwa dipindahkan ke Malaysia dari Singapura.

Cip tersebut didakwa ditanam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dihantar ke Malaysia, menurut laporan berita dari Singapura.

-- BERNAMA