BERITA TERKINI   Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | Ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) negeri terima sumbangan RM10,000, GKMM terima RM30,000 - Fahmi | 

Sarawak Dan Huawei Meterai MoU Pacu Transformasi Digital

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk memacu transformasi digital Sarawak melalui perluasan sambungan tanpa wayar ke kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), MOU itu ditandatangani di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 di Sepanyol pada Selasa. Ia disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

MOU itu juga bertujuan menjalin kerjasama untuk memodenkan rangkaian penghantaran bagi menyokong penggunaan teknologi 5G yang pesat dan inovasi masa depan di negeri ini selain memacu pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang mencerminkan keperluan dan identiti unik Sarawak.

“Matlamat lain termasuklah membangunkan pusat penyimpanan data terkini untuk membolehkan pertukaran data dan pengeluaran data yang selamat selain mengukuhkan pembangunan bakat digital dengan melengkapkan tenaga kerja tempatan dengan kemahiran dalam AI, Data Raya, Internet of Things (IoT) dan teknologi imersif,” menurut UKAS dalam laporan dalam taliannya hari ini.

Berucap pada majlis tersebut, Uggah berkata MOU itu dibina atas asas kukuh yang telah dibentuk melalui kerjasama antara Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Huawei, terutamanya dalam pembangunan bandar pintar.  

Beliau berkata kerjasama SMA-Huawei telah memberi laluan kepada ekosistem bandar yang lebih terhubung dan cekap, dengan memanfaatkan inovasi dalam kesalinghubungan, analisis data dan infrastruktur pintar untuk meningkatkan perkhidmatan awam dan kualiti hidup secara keseluruhannya.

“Dengan mengukuhkan kerjasama ini, Sarawak menjadi peneraju dalam inovasi digital, memastikan teknologi pintar terus memacu pertumbuhan ekonomi, kemampanan dan peluang yang lebih baik untuk rakyatnya.

“Saya harap dengan MOU ini, kita dapat membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak, yang lebih terhubung, inklusif dan dipenuhi dengan peluang baharu,” katanya.

-- BERNAMA