BERITA TERKINI   Liga Super: Kuching City 3-0 Kedah | 

Kerajaan Lulus 21 Projek Pusat Data Di Bawah DESAC Dengan Pelaburan RM113.8 Bilion - MITI

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kerajaan meluluskan 21 projek pelaburan pusat data di bawah insentif galakan Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) dengan nilai pelaburan berjumlah RM113.8 bilion sejak 2021 hingga 2024.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan pelaburan itu dijangka mewujudkan 1,244 peluang pekerjaan baharu.

“Pelaburan asing merupakan penyumbang utama pelaburan pusat data mencecah 90 peratus jumlah pelaburan atau RM102.3 bilion, manakala selebihnya terdiri daripada pelaburan domestik iaitu 10 peratus jumlah pelaburan pusat data atau RM11.5 bilion. 

"Pelaksanaan projek pusat data lazimnya memerlukan antara 12 hingga 24 bulan untuk direalisasikan, bergantung pada kompleksiti, skala projek, dan keadaan ekonomi semasa,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara di laman web Parlimen pada Rabu.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai jumlah peluang pekerjaan yang dijangka diwujudkan melalui pelaburan langsung asing dalam sektor pusat data bagi tempoh lima tahun akan datang.

MITI menambah pembangunan pusat data membuka peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi yang mempunyai kepakaran khusus kepada warga tempatan, antaranya saintis data, penganalisis data jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Pusat Data (CTF) yang dipengerusi bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, serta Menteri Digital dalam usaha memperkasakan pembangunan serta kawal selia industri pusat data dan ekosistemnya, tambah kementerian itu.

“DCTF akan melancarkan keputusan dasar berkaitan pembangunan industri pusat data, memperkukuh koordinasi serta merangka strategi pembangunan pusat data dan ekosistemnya.

“Pasukan itu juga akan memperhalusi isu strategik dan kesan limpahan ekonomi pelaburan pusat data dan ekosistemnya yakni meliputi peluang pekerjaan dan bakat khusus yang diperlukan," menurut MITI.

-- BERNAMA