BERITA TERKINI   KPKM perkenal dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 untuk tangani isu padi angin - Mohamad | Kerajaan lulus Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang jalani tempoh pengalaman kerja diselia selepas tamat latihan kepakaran - KKM | Eksport, pemindahan dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS kini tertakluk kepada permit perdagangan - MITI | 

Loji Jana Kuasa Pulau Indah Mula Beroperasi, Tingkat Bekalan Elektrik Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- GE Vernova Inc mengumumkan pengoperasian loji jana kuasa Pulau Indah yang dibangunkan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri Selangor, Worldwide Holdings Bhd (WHB). 

Kemudahan 1,200 megawatt (MW) itu dikuasakan oleh peralatan kitaran gabungan GE Vernova Berkecekapan Tinggi, Disejukkan Udara dan dijangka menjana tenaga elektrik yang mencukupi bagi membekalkan tenaga kepada kira-kira 2.5 juta kediaman di Malaysia.

"Di bawah syarat perjanjian selama 21 tahun, GE Vernova dijangka menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan serta penyelesaian perisian bagi meningkatkan keterlihatan aset, kebolehpercayaan dan ketersediaan loji," kata GE Vernova dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas Power Asia GE Vernova, Ramesh Singaram berkata syarikat ini mempunyai kelayakan yang unik bagi menyokong peralihan tenaga Malaysia.

Katanya, syarikat itu juga membantu memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di negara ini.

“Kami berbangga untuk menambah loji jana kuasa ini kepada 116 unit yang beroperasi di seluruh dunia dan mengumpul lebih tiga juta jam operasi komersial,” katanya.

-- BERNAMA