Pengekalan OPR Beri Petunjuk Keyakinan Terhadap Ketahanan Ekonomi Malaysia
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keenam berturut-turut mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap daya tahan ekonomi domestik Malaysia meskipun terdapat ketidakpastian global semakin memuncak, kata ahli ekonomi.
OPR penanda aras kekal tidak berubah sejak Julai 2025, menjadikannya salah satu pengekalan dasar terpanjang BNM dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Mereka berkata pengekalan yang berpanjangan itu menunjukkan bahawa tetapan monetari semasa kekal menyokong pertumbuhan dan memberi fleksibiliti kepada penggubal dasar untuk bertindak balas terhadap risiko luaran yang tidak menentu termasuk ketegangan geopolitik dan ketidakpastian perdagangan global.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah pre-emptif BNM pada Julai 2025 telah menyediakan kestabilan dasar yang mencukupi di bawah persekitaran ekonomi semasa.
“Di bawah persekitaran semasa...pertumbuhan kekal baik, keperluan untuk menurunkan OPR kurang mendesak,” katanya kepada Bernama.
Bank pusat memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat ketiga daripada enam mesyuarat MPC hari ini yang dijadualkan diadakan pada 2026.
Beliau berkata momentum pertumbuhan Malaysia kekal kukuh ketika ini walaupun terdapat kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak global dan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata BNM akan terus memantau prospek pertumbuhan dengan teliti terutamanya pada separuh kedua 2026, memandangkan risiko luaran kekal tidak menentu.
“Jika pertumbuhan dijangka akan terus perlahan, maka BNM mungkin akan menurunkan OPR sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia, Nazmi Idrus berkata keputusan OPR terkini sebahagian besarnya sudah dijangka oleh pasaran dan mencerminkan pendekatan seimbang BNM antara mengekalkan pertumbuhan dan mengurus tekanan inflasi.
“Saya berpendapat langkah oleh BNM hari ini sudah dijangka. Memandangkan kesukaran untuk membuat jangkaan masa depan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia, para pelabur kini tidak hanya melihat kepada pergerakan OPR, malah turut menilai daya tahan keseluruhan sesebuah negara dalam mempertimbangkan nilai ringgit dan pelaburan mereka," katanya.
Nazmi berkata Malaysia kekal berada pada kedudukan agak baik berbanding beberapa negara serantau memandangkan langkah-langkah subsidi dan keadaan bekalan bahan api yang stabil terus mengurangkan tekanan inflasi.
Malaysia kekal berada pada kedudukan yang agak baik berbanding beberapa ekonomi serantau memandangkan langkah-langkah subsidi dan keadaan bekalan bahan api yang stabil terus mengurangkan tekanan inflasi, katanya.
-- BERNAMA