BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

HI Mobility Optimistik Kontrak Bas Percuma Johor Akan Dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- HI Mobility Bhd (HI Mobility) optimistik bahawa kontrak syarikat itu dalam initiatif Bas Muafakat Johor (BMJ) yang tamat pada akhir bulan ini akan dilanjutkan. 

BMJ merupakan perkhidmatan bas percuma yang dibiayai kerajaan negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility Lim Chern Chen berkata syarikat itu sentiasa terlibat secara aktif dengan pihak berkuasa negeri untuk terus menyediakan perkhidmatan bas percuma. 

“Kami dalam proses untuk menerima berita mengenai tender. Memang ada hasrat untuk terus menyediakan perkhidmatan tersebut (dengan kerajaan negeri Johor),” katanya pada sidang media selepas syarikat itu membuat penampilan sulung di Papan Utama Bursa Malaysia.

Kaunter dibuka pada RM1.27 dengan premium 5 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.22, dengan 5.97 juga saham diniagakan.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata ia berjaya memperoleh RM115.9 juta menerusi terbitan 95 juta saham baharu.

Mengenai hasil diperoleh, katanya, RM70 juta akan digunakan untuk mengembangkan armada basnya menerusi pemerolehan bas enjin elektrik dan pembakaran dalaman dan RM15 juta bagi memperluaskan infrastruktur pengecasan kenderaan elektriknya (EV). 

Menurut kenyataan itu, stesen pengecasan EV tambahan juga akan dipasang di depoh dan laluan terpilih.

“Selain itu, RM5 juta akan diperuntukkan untuk pengukuhan teknologi, menaik taraf pusat kawalan operasinya dengan platform penyepaduan data dan penggunaan kecerdasan buatan. 

“RM17.9 juta akan digunakan sebagai modal kerja dan baki RM8 juta bagi membiayai perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Mengulas mengenai peruntukan Kementerian Kewangan sebanyak RM1.9 bilion kepada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk membeli 1,560 bas elektrik dan diesel baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, Lim berkata HI Mobility tidak menganggap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Prasarana sebagai pesaing, khususnya membabitkan bas elektrik.

“Rapid KL (Prasarana) mempunyai mandat untuk mengembangkan rangkaiannya dan menambah baik pengangkutan awam secara keseluruhan. 

“Kami melihat diri kami hanya memainkan peranan yang saling melengkapi.

“Sebagai sebuah entiti persendirian, tumpuan kami adalah pada keuntungan dan kecekapan operasi.

“Dalam erti kata itu, kami amat saling melengkapi,” katanya.

-- BERNAMA