BERITA TERKINI   SEANWFZ: China menyatakan kemahuan menandatangani 'without reservation' - Menteri Luar Mohamad | ASEAN hargai kesediaan Negara Senjata Nuklear menyokong Protokol SEANWFZ - Mohamad Hasan | ASEAN perlu bertindak secara kolektif untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan Negara Senjata Nuklear meratifikasi SEANWFZ - Mohamad Hasan | Menegakkan hak asasi manusia penting bagi membentuk ASEAN yang berdaya tahan, dinamik dan berpaksikan manusia - Mohamad Hasan | Mesyuarat AICHR diadakan hari ini sempena bermulanya fasa baharu di bawah Visi ASEAN 2045 - Mohamad Hasan | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Diniagakan Mendatar Minggu Depan

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka akan bergerak dalam julat yang terhad sepanjang minggu dagangan singkat minggu depan berikutan cuti umum, mencerminkan prestasi pasaran tunai.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata tumpuan pasaran minggu depan akan terarah kepada rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap semua kereta yang diimport, yang akan berkuat kuasa pada 2 April 2025.

Sementara itu, beliau berkata AS mungkin menggunakan pengharaman TikTok sebagai jalan tengah dalam menentukan pelaksanaan tarif dengan China.

Moratorium larangan TikTok oleh Presiden Donald Trump di negara itu tamat pada 5 April ini.

 "Jika tarif ini dilaksanakan seperti yang dijangka, sentimen pelabur dijangka kekal stabil, didorong oleh lebihan dagangan Malaysia yang sederhana serta impak pendedahan yang terhad," kata Mohd Sedek kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mac 2025 mencatatkan lonjakan 22.0 mata kepada 1,522.0, manakala kontrak April 2025 menambah 9.5 mata kepada 1,512.0. Kontrak Jun 2025 pula mencatatkan kenaikan 1.0 mata kepada 1,506.0, dan September 2025 meningkat 1.5 mata kepada 1,493.5.

Jumlah dagangan turut melonjak kepada 207,315 lot pada minggu ini berbanding 38,704 lot minggu sebelumnya, sementara kepentingan terbuka menokok kepada 59,411 kontrak berbanding 54,340 kontrak pada minggu lepas.

Pada Jumaat, indeks FBM KLCI ditutup pada 1,513.65, mencatatkan kenaikan 8.20 mata berbanding 1,505.45 minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia serta anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin dan Selasa (31 Mac dan 1 April) bersempena dengan cuti umum Aidilfitri, tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

-- BERNAMA