BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

PM Anwar Terima Kunjungan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama)-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto di pejabat beliau di Putrajaya. 

Anwar berkata pertemuan itu diadakan bagi membincangkan perkembangan kerjasama dua hala melibatkan Malaysia dan Indonesia.

"Kami memanfaatkan sepenuhnya hubungan erat persahabatan kedua-dua negara yang terjalin khususnya mengukuhkan lagi lebih banyak kegiatan perdagangan membabitkan pengusaha Indonesia dan Malaysia dalam pelbagai sektor terkait," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata keutamaan juga diberikan bagi mengukuh dan memperbaharui sinergi ekonomi serta mencerminkan komitmen untuk memupuk kerjasama yang kukuh antara Indonesia dan Malaysia ke tahap lebih baik lagi di masa hadapan.

Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memerlukan kerjasama semua negara jiran termasuk Indonesia bagi melonjakkan keupayaan negara sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan di benua ini dan juga seluruh dunia.

Perbincangan tersebut turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook beliau berkata pertemuan tersebut turut membincangkan strategi pengukuhan ekonomi serantau. 

"Dalam suasana global yang penuh ketidakpastian, perpaduan ASEAN bukan lagi satu pilihan, tapi keperluan. Ayuh kita perkukuhkan ekonomi serantau demi kemakmuran bersama," katanya. 

Beliau turut menegaskan ketika ekonomi global bergelora, suara ASEAN perlu lebih lantang lagi. 

--BERNAMA