BERITA TERKINI   Tiga warga Vietnam dipenjara 12 tahun dan denda RM128.9 juta atas 15 pertuduhan simpan bahagian hidupan liar tanpa permit sah | Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, dengan pelabur mengambil sikap berhati-hati berikutan suasana pasaran yang tertekan, dipengaruhi oleh kebimbangan mengenai kemungkinan perang perdagangan global.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur masih berwaspada kerana emas mungkin dijual secara besar-besaran untuk menampung kerugian di pasaran lain, terutamanya disebabkan oleh tekanan penjualan berterusan pada saham dan bon.

“Emas sedang memulihkan kedudukannya. Setelah mencatatkan paras rendah intrahari, ia telah meningkat hampir US$50 dan kini didagangkan sekitar US$3,050.

“Pelabur kekal berhati-hati kerana bimbang emas akan dijual untuk menampung margin di pasaran lain, terutamanya kerana pasaran ekuiti dan kredit masih berada dalam mod penjualan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan hari ini, harga semerta bagi April 2025 merosot kepada US$3,032.30 setiap auns troy berbanding US$3,105.20 setiap auns troy pada Jumaat lepas, manakala bagi Mei 2025, ia turun kepada US$3,044.10 setiap auns troy berbanding US$3,118.00 setiap auns troy.

Bagi Jun 2025, Julai 2025, dan Ogos 2025, harga semuanya susut kepada US$3,055.90 setiap auns troy daripada US$3,126.80 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 153 lot berbanding 114 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 199 kontrak berbanding 141 kontrak sebelum ini.

Berdasarkan penetapan London Bullion Market Association pada 4 April, emas fizikal berharga US$3,054.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA