BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

MAG Tidak Berhasrat Terima Suntikan Modal Daripada Khazanah

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) berkata ia tidak berhasrat untuk terus menerima suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd.

Pengarah Urusan kumpulan Datuk Kapten Izham Ismail berkata kumpulan itu beroperasi dengan berpandukan prinsip yang mengutamakan MAG sebagai perniagaan yang mampan secara komersial.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan memerlukan sokongan pemegang saham jika keadaan makroekonomi merosot dengan ketara, memetik senario yang serupa dengan kesan COVID-19.

Menurut Izham, MAG menerima suntikan dana daripada Khazanah Nasional sebanyak RM3.6 bilion pada 2021 untuk menyokong perniagaan syarikat penerbangan itu, dengan RM1.3 bilion telah digunakan setakat ini.

Jadi, kami masih mempunyai baki daripada dana itu bagi mengharungi cabaran semasa. Sebenarnya, adalah tidak adil bagi pemegang saham untuk menyalurkan dana kerana ketidakcekapan organisasi, katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata pada masa depan MAG terbuka untuk membeli pesawat daripada Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC).

"Berhubung perolehan pesawat dengan COMAC itu, ia masih dalam penilaian kami," kata Izham.

-- BERNAMA