BERITA TERKINI   Harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia mulai Julai - PM Anwar | Penggunaan MyKad bagi pembelian diesel RM2.10 seliter bagi elak ketirisan - PM Anwar | Dakwaan kebocoran data yang tular di media sosial merujuk insiden lama sebelum 2022, tiada kaitan platform semasa - MKN | 

Sime Darby Property Terbit Sukuk Musharakah RM800 Juta

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd berjaya menerbitkan RM800 juta di bawah terbitan ketiga program sukuk musharakah.

Menurut pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MARC Ratings Bhd telah mengekalkan penarafan AA+IS untuk program sukuk musharakah dengan prospek stabil.

Menurut Sime Darby Property, terbitan sukuk itu terdiri daripada RM200 juta dengan tempoh tujuh tahun, RM100 juta dengan tempoh 10 tahun dan RM500 juta dengan tempoh 15 tahun.

Hasil daripada terbitan sukuk musharakah akan digunakan untuk membiayai pelaburan masa depan Sime Darby Property Group, perbelanjaan modal atau keperluan modal kerjanya dan tujuan korporat am serta jika perlu, untuk membiayai semula obligasi hutang.

“Bagaimanapun, semua penggunaan dana akan mematuhi prinsip syariah,” katanya.

Maybank Investment Bank (IB) Bhd adalah satu-satunya penasihat utama dan pengatur utama untuk program sukuk musharakah manakala CIMB Investment Bank Bhd, Maybank IB dan OCBC Al-Amin Bank Bhd ialah pengurus utama bersama bagi terbitan sukuk itu.

-- BERNAMA