BERITA TERKINI   MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kerajaan setuju bayar RM200 sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

MPOGCF, SOP Meterai MoU Pulihara Sawit Dan Biodiversiti Mampan

MIRI, 9 Mei (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) telah memuktamadkan kerjasama penting menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang turut menandakan pencapaian dalam integrasi pemuliharaan biodiversiti sektor  sawit Malaysia.

Majlis pemeteraian pada Khamis yang turut dihadiri wakil kedua-dua organisasi, juga memaparkan komitmen bersama dan bermakna terhadap pengawasan alam sekitar, terutama melalui usaha kerjasama bagi melindungi kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) dalam landskap ladang SOP.

Dalam kenyataannya, MPOGCF berkata MoU itu telah ditandatangani oleh Pengurus Besarnya Hairulazim Mahmud dan Ketua Pegawai Operasi SOP Eric Kiu Kwong Seng serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOP Paul Wong Hee Kwong. 

Yusran menyifatkan MoU itu sebagai dedikasi MPOCGF bagi menjadikan pemuliharaan dan biodiversiti sebagai teras pengurusan ladang mampan selain mengukuhkan tanggungjawab bersama.

“Lebih bermakna, SOP adalah syarikat minyak sawit pertama dari Sarawak yang menjalin tahap kerjasama ini dengan MPOGCF.

“Kami berbangga untuk mengambil langkah bersejarah ini secara bersama dan berharap ini memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat di negeri ini untuk menyertai kami dalam memajukan amalan sawit bertanggungjawab," katanya. 

Menerusi kerjasama itu, dua organisasi berkenaan akan menjalankan ekspedisi saintifik di Murum, Sarawak bagi mendokumentasikan serta menganalisis biodiversiti dalam zon HCV bersebelahan ladang.

Inisiatif itu turut menilai strategi bagi meningkatkan koridor hidupan liar, memelihara ekosistem, dan menyokong mata pencarian masyarakat tempatan sambil mengekalkan produktiviti pertanian. 

“Usaha itu bertujuan mendokumentasikan kekayaan biodiversiti di seluruh kawasan ladang SOP dan zon HCV di sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Kiu pula menegaskan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan mampan dan menekankan bahawa pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab melangkaui daripada pematuhan peraturan. 

Kerjasama itu juga, katanya, mengesahkan komitmen padu SOP terhadap amalan sawit yang bertanggungjawab.

“Dalam usaha untuk terus berkembang, aspek mengukuhkan pengawasan terhadap alam sekitar juga perlu dilakukan.

“Kerjasama dengan MPOGCF ini akan membolehkan kami memanfaatkan pengetahuan saintifik, memupuk kerjasama dan menterjemahkan matlamat kemampanan kepada impak sebenar di lapangan.

“Ia bukan hanya mengenai pematuhan tetapi juga mewujudkan warisan penjagaan untuk generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA