BERITA TERKINI   Majlis Perundingan UMNO-PH setuju kekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan | 

Marriott International, Maritime Waterfront Suites Bekerjasama Perkasa Industri Hospitaliti

KEPALA BATAS, 5 Mei (Bernama ) -- Marriott International menjalin kerjasama dengan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd bagi menukar nama tempat peranginan Bertam Resort kepada The Bertam yang akan membuka lembaran baharu sektor hospitaliti di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Bertam Resort dimiliki serta diuruskan oleh Maritime Waterfront Suites.

Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik (tidak termasuk China) Marriott International Andree Susilo berkata kerjasama itu mencerminkan visi bersama untuk membawa pengalaman hospitaliti yang berbeza ke destinasi baharu yang berpotensi.

Beliau berkata kerjasama itu dijangka memberi lonjakan kepada kadar penghunian bilik menerusi akses kepada rangkaian pelanggan global Marriott yang kini mempunyai lebih 250 juta ahli program kesetiaan Marriott Bonvoy di seluruh dunia termasuk hampir 100 juta di Asia.

Jelasnya, sekitar 60 peratus perniagaan hotel berkenaan di Malaysia disumbang oleh ahli program tersebut.

“Hotel ini merupakan tambahan bermakna kepada portfolio kami di Malaysia sekali gus membolehkan kami memenuhi keperluan pengembara sama ada santai dan korporat yang semakin berkembang.

Selain itu, ia menyokong pertumbuhan berterusan kami di pasaran berpotensi tinggi di rantau ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan di sini hari ini.

Marriott International diwakili Andree manakala Bertam Resort pula diwakili Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd Datuk Mohamed Iqbal S.Habeeb Noohu dengan disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai.

Kerjasama itu melibatkan penjenamaan semula tempat peranginan lima bintang Bertam Resort yang mula beroperasi pada Mac 2023 kepada jenama koleksi Marriott yang terkenal dengan identiti unik dan pengalaman berbeza kepada tetamu.

Dijadual dibuka pada suku keempat 2026, The Bertam menawarkan 282 bilik dan menjadi hotel pertama di Seberang Perai  yang bernaung di bawah rangkaian Marriott International, melengkapkan kehadiran kumpulan itu di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohamed Iqbal berkata kerjasama tersebut merupakan satu evolusi strategik bagi hotel berkenaan melalui sokongan rangkaian Marriott sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan hotel.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada perancangan untuk menambah bilangan bilik dalam masa terdekat berikutan kekangan ruang di kawasan berkenaan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada memperkukuh prestasi dan kualiti perkhidmatan sedia ada.

Dalam pada itu, Wong berkata penyertaan hotel berkenaan dalam rangkaian Marriott membuka peluang besar kepada sektor pelancongan di Seberang Perai dan ia merupakan hotel pertama di tanah besar Pulau Pinang yang bernaung di bawah Marriott International.

Katanya ia membuka akses kepada jutaan pengguna Marriott Bonvoy di seluruh dunia dan meningkatkan kehadiran Bertam sebagai destinasi pelancongan serta perniagaan, malah selari dengan usaha menyeimbangkan pertumbuhan di antara pulau dengan tanah besar.

Hotel yang merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu seluas  8.1 hektar Bertam Resort & Water Park Penang itu dijangka menawarkan ruang fungsi seluas 2,959 meter persegi termasuk dewan besar, bilik mesyuarat, glasshouse dan pelbagai ruang acara sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di tanah besar Pulau Pinang.

Kemudahan sedia ada termasuk kolam gaya tempat peranginan, pusat kecergasan, pelbagai pilihan tempat makan, kelab kanak-kanak serta kemudahan gaya hidup lain.

-- BERNAMA