BERITA TERKINI   Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | Kerajaan kekalkan subsidi bersasar RON95 dan diesel sebagai penampan bagi lindungi rakyat daripada kesan krisis tenaga - Amir Hamzah | Bekalan rendah, permintaan tinggi, ancaman keselamatan, kos penghantaran berlipat ganda punca harga minyak dunia naik mendadak - Amir Hamzah | 

BNM Pastikan Dasar Monetari Kekal Kondusif Bagi Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) masih belum membuat sebarang keputusan berhubung Kadar Dasar Semalaman (OPR), tetapi bank pusat itu akan memastikan dasar monetarinya kekal kondusif bagi pertumbuhan ekonomi yang mampan di tengah-tengah kestabilan harga, kata Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) baru-baru ini, sejajar dengan penilaian semasa BNM berhubung inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.

“Kami mengiktiraf risiko penurunan kepada pertumbuhan ekonomi. Memandangkan persekitaran yang sangat lancar dan tidak menentu, data terus memainkan peranan penting.

“Kami akan terus memantau petunjuk utama bagi mendapatkan gambaran lebih jelas dan ia akan menjadi prinsip dan panduan kami dalam mesyuarat MPC akan datang,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2025 di sini, hari ini.

Katanya, pada setiap mesyuarat MPC, data baharu sentiasa tersedia, yang boleh membantu BNM menilai prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi dalam beberapa bulan akan datang.

“Data itu akan membantu kami dalam membuat sebarang keputusan sama ada untuk mengubah atau mengekalkan bergantung kepada kedudukan berdasarkan pasaran,” katanya. 

Abdul Rasheed berkata BNM mengakui bahawa perubahan dalam dasar perdagangan global dan persekitaran global yang tidak menentu akan mempengaruhi prospek ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesannya termasuk ke atas sektor luar, bergantung kepada hasil rundingan perdagangan yang berlaku di peringkat global.

“Kami berdepan dengan cabaran luaran daripada kedudukan yang kukuh dan permintaan domestik yang berdaya tahan yang akan terus menambat aktiviti ekonomi. Inflasi juga akan kekal terkawal,” katanya.

-- BERNAMA