BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Malaysia Berada Di Landasan Teraju Sektor Pembuatan EV, Bateri Di ASEAN -- MARii

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang kukuh meletakkan negara di landasan untuk meneraju industri pembuatan kenderaan elektrik (EV) dan komponen bateri bagi menyokong permintaan ekosistem mobiliti serantau yang semakin meningkat di ASEAN.

Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Datuk Aminar Rashid berkata wawasan negara hanya boleh direalisasikan dengan menangani jurang infrastruktur, memodenkan rangkaian logistik, dan memudahkan mobiliti rentas sempadan bagi memastikan kelancaran aliran barangan, perkhidmatan dan bakat.

“Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 kita menggariskan visi yang jelas untuk memacu Malaysia ke arah menjadi hab serantau bagi kenderaan generasi akan datang, aksesori mobiliti dan teknologi Industri 4.0.

“Begitu juga, Pelan Induk Perindustrian Malaysia 2030 yang baharu mengukuhkan hala tuju kita untuk bergerak ke arah industri bernilai tinggi, berteknologi tinggi sambil menerima guna kemampanan dan keterangkuman,” katanya menerusi ucapan perasmian pada Persidangan PwC Automotive ASEAN di sini, hari ini.

Aminar berkata MARii juga bekerjasama dengan ahli akademik, industri dan kerajaan untuk membina pensijilan, platform latihan digital dan program inklusif bagi memperkasakan mobiliti negara pada masa depan.

“MARii akan membuka jalan ke arah masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan yang berdasarkan kerjasama, inovasi dan tujuan yang jelas.

“Tidak ada pemain yang boleh mengemudi peralihan ini secara bersendirian kerana ia memerlukan kerajaan, industri, ahli akademik, institusi kewangan dan pengguna untuk bekerjasama bukan sahaja di dalam negara kita tetapi juga merentas ASEAN dan melangkaui darinya,” katanya.

Pada persidangan itu, PwC Malaysia dan MARii turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan memajukan sektor automotif Malaysia dalam ASEAN.

Pengerusi eksekutif PwC Malaysia, Nurul A'in Abdul Latif berkata perkongsian itu bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau inovasi mobiliti.

“Industri automotif sedang mengalami perubahan besar, didorong oleh peralihan dalam teknologi, peraturan, keutamaan pelaburan dan pengguna.

“Melalui kerjasama ini, PwC komited untuk menyampaikan pandangan berlandaskan data dan akan memaklumkan serta menyokong penggubalan dasar automotif Malaysia, strategi pelaburan dan daya saing industri jangka panjang, terutamanya ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA