BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Sidang Kemuncak ASEAN: Timor-Leste Tumpu Usaha Keanggotaan Penuh, Oman Teroka Peluang Kerjasama

Oleh Amanina Mohamad Yusof dan Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

SEPANG, 22 Mei (Bernama) -- Timor-Leste menzahirkan penghargaan atas peluang bagi memperkukuh penglibatannya dalam blok serantau dengan menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan bermula Isnin ini, sebagai platform penting untuk memahami mekanisme ASEAN dan melaksanakan pelan hala tuju ke arah keanggotaan penuh.

Timbalan Menteri Hal Ehwal ASEAN merangkap Pegawai Kanan ASEAN Timor-Leste Milena Maria da Costa Rangel berkata penyertaan dalam mesyuarat berkaitan ASEAN minggu ini termasuk Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM), Majlis Penyelarasan ASEAN (AECC) dan Sidang Kemuncak ASEAN merupakan peluang terbaik dalam meningkatkan kesiapsiagaan Timor-Leste sebagai anggota penuh.

“Semakin banyak mesyuarat ASEAN yang disertai, semakin mendalam pemahaman kami terhadap proses berkaitan ASEAN.

“Kami faham bahawa satu daripada syarat dalam pelan hala tuju keanggotaan adalah kesiapsiagaan Timor-Leste untuk menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama di sini.

Sejak diberikan status pemerhati pada 2022 dan menerima kelulusan dari segi dasar untuk menjadi anggota ke-11 ASEAN, Timor-Leste telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan pelan hala tuju keanggotaan.

“Portfolio utama saya ialah membawa Timor-Leste menjadi anggota ASEAN. Saya rasa kami sudah melaksanakan dengan baik pelbagai kriteria ditetapkan dalam pelan hala tuju berkenaan.

“Malah pada SOM, Timor-Leste tetap berpeluang menyampaikan pandangan dan seperti kebiasaan, kami akan memberikan kemas kini mengenai perkembangan pelaksanaan pelan hala tuju,” katanya.

Timor-Leste telah berusaha untuk menjadi anggota ASEAN sejak 2011, dengan sokongan daripada ASEAN dalam membantu negara itu memenuhi keperluan keanggotaan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan 41 pada November 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11, dengan syarat negara itu memenuhi kriteria digariskan dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh.

Pelan hala tuju itu menggariskan tiga rangka kerja utama dalam bidang politik dan keselamatan, ekonomi serta hubungan sosial dan budaya yang perlu dilaksanakan Timor-Leste sebelum diberikan keanggotaan penuh ASEAN.

Sementara itu, Pegawai Kanan Oman Sheikh Ahmed Hashel Al Maksari berkata negara itu berbesar hati kerana dapat menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) buat kali kedua di Kuala Lumpur.

“Kami datang untuk meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor dan yakin kedua-dua blok ini berpotensi untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada. Mesyuarat pertama telah berlangsung di Riyadh pada 2023, dan kami amat berbesar hati kerana seperti dipersetujui, ASEAN menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kedua,” katanya.

Beliau berkata Oman mempunyai hubungan erat dengan Malaysia serta negara anggota ASEAN, dan perbincangan yang berlangsung sentiasa membuahkan hasil positif.

“Sebagai kumpulan negara GCC, kita akan lihat apa boleh diusahakan bersama dengan negara-negara ASEAN,” katanya.

Milena dan Sheikh Ahmed Hashel antara pegawai kanan terawal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.

Bersempena dengan sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA