MayCham Pertingkat Usaha Tarik Pelaburan GCC-China Menjelang Sidang ASEAN
Oleh Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 26 Mei (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China (MayCham) giat memacu usaha mengukuhkan hubungan dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta China dan menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang bakal berlangsung sebagai tepat dalam menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.
Pengerusi MayCham Loh Wee Keng berkata sidang yang dijadual berlangsung pada 27 Mei, 2025, juga tepat pada saat penting untuk Malaysia meningkatkan kehadiran ekonomi globalnya dengan menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan serantau, negara-negara Teluk serta China.
“Malaysia adalah sebuah negara kecil. Jika kita memilih untuk berusaha sendirian, suara kita tidak akan didengar. Namun, menerusi kerjasama ASEAN dan GCC selain seiring dengan China, sidang kemuncak ini menawarkan peluang unik bagi Malaysia untuk memainkan peranan lebih strategik di peringkat global,” katanya kepada Bernama.
Loh berkata keadaan ekonomi global pada masa ini perlahan, khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat, hanya menegaskan lagi keperluan mendapatkan suntikan modal dari Timur Tengah yang kekal sebagai sumber pelaburan yang kukuh.
“Kerjasama ASEAN-GCC-China kini semakin relevan. Sidang kemuncak itu menjadi forum yang bertepatan untuk Malaysia memaparkan industrinya yang sedia untuk berkembang -- daripada tenaga hijau kepada teknologi tinggi, infrastruktur dan pembuatan halal.
“Seiring dengan kehadiran MayCham di China dan Malaysia, kita berada dalam kedudukan baik untuk menghubungkan pelabur dari rantau GCC,” katanya.
Beliau berkata MayCham juga secara aktif menjalin hubungan dengan agensi kerajaan dan syarikat korporat Timur Tengah yang beroperasi di China dan terus mempromosi Malaysia sebagai hab pelaburan kompetitif, stabil serta lokasi yang strategik.
“Setiap kali berurusan dengan pelabur Timur Tengah atau China (di sini), kami memastikan dapat mengetengahkan peluang pelaburan di Malaysia. Kami turut menganjurkan jelajah pelaburan bersasar dan memberi kemudahan bagi tinjauan pasaran dan padanan perniagaan,” katanya.
Loh berkata peranan MayCham sebagai dewan perniagaan juga melangkaui daripada sekadar jaringan -- MayCham berperanan sebagai pemudah cara strategik dalam membuka aliran perdagangan dan pelaburan dengan mengenal pasti keperluan pelabur dan memadankannya dengan rangka kerja dasar Malaysia serta kekuatan sektor.
“Pada masa depan, MayCham akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh diplomasi ekonomi. Fokus kita adalah jelas — memperkukuh hubungan, mengenal pasti peluang dan membolehkan pelaburan disasarkan ke Malaysia dan kawasan ASEAN yang lebih luas,” katanya.
-- BERNAMA