MITI Kaji Cadangan Penggabungan HDC Dan MATRADE - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih mengkaji penggabungan Halal Development Corporation (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata perkara tersebut masih dalam perbincangan kerana terdapat beberapa cadangan lain dikemukakan, antaranya pemerkasaan industri halal negara. 

"Kita ingin perkasakan industri halal ini dengan memberi fokus kepada pembangunan halal serta tidak mahu ada pertindihan dari segi perdagangan halal.

"Selain itu, kita juga mahu MATRADE lebih fokus pada perdagangan halal dari segi memberi akses kepada produk halal, pada masa sama memastikan HDC memberi lebih fokus pada pembangunan halal," katanya kepada pemberita selepas ASEAN-GCC Economic Forum 2025, di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula akan memfokuskan kepada pelaburan-pelaburan yang melibatkan industri halal.

MITI baru-baru ini mengumumkan bahawa MATRADE dan HDC akan bergabung untuk membentuk ekosistem perdagangan dan industri halal yang lebih kukuh.

Jawatankuasa pro-tem untuk penggabungan strategik telah ditubuhkan untuk menyelaraskan sumber dan rangka kerja operasi dan memastikan sebarang penyatuan fungsi dan pekerjaan akan diurus secara saksama.

“Penggabungan itu disasarkan untuk meningkatkan kepimpinan dan daya saing Malaysia dalam pasaran halal global, diunjurkan mencecah US$5 trilion menjelang 2030,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata cadangan penubuhan Suruhanjaya Halal oleh Sekretariat Majlis Halal Malaysia akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Objektif penubuhan suruhanjaya itu akan dikongsikan selepas mendapat kelulusan daripada Mesyuarat kabinet.

"Buat masa ini, kita masih dalam 'circulation' dan mendapatkan komen serta ulasan daripada kementerian lain. Apabila diluluskan kelak, kita boleh beri lebih pencerahan mengenai penubuhan suruhanjaya ini," katanya.

-- BERNAMA