Malaysia Airlines Perkukuh Kerjasama Dengan China Tingkat Pertumbuhan Penumpang, Kargo

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 30 Mei (Bernama) -- Malaysia Airlines sedang mempergiat usaha untuk mengukuhkan kerjasama dua hala bagi meningkatkan jumlah penumpang dan pertukaran kargo antara China dan Malaysia.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Malaysia Aviation Group Dersenish Aresandiran berkata ini sekali gus memperlihatkan komitmennya untuk menjadi syarikat penerbangan pilihan yang menghubungkan China dengan Malaysia dan pasaran global yang lebih meluas.

Beliau berkata berikutan kejayaan penyertaan sulung syarikat penerbangan itu di ITB China 2025, Malaysia Airlines akan melancarkan kempen pemasaran tidak lama lagi bersama-sama dengan rakan dagang utama China dan melancarkan program latihan korporat yang disasarkan untuk mengukuhkan lagi kehadiran pasarannya.

“Kemunculan sulung di ITB China telah mengukuhkan penglibatan kami dengan komuniti pelancongan China dan menjadi asas untuk melakarkan pertumbuhan seterus kami dalam pasaran ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan itu memuktamadkan lebih daripada 200 pertemuan perniagaan dan mengadakan lebih 30 perbincangan peringkat atasan semasa pameran tersebut yang  menyerlahkan peranan utamanya sebagai pemudah cara perhubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

ITB China 2025, yang diadakan di Shanghai dari 27 hingga 29 Mei, 2025, adalah pameran perdagangan perjalanan yang menumpu kepada industri pelancongan China, menyediakan platform bagi pembekal perjalanan global untuk berhubung dengan pasaran sumber yang besar bagi pelancongan antarabangsa.

Justeru, Dersenish berkata, syarikat penerbangan nasional itu akan terus menumpu untuk mengoptimumkan rangkaian laluan dan mempercepatkan inovasi digital bagi menyediakan perjalanan yang cekap kepada pelanggan China pada masa depan.

Semasa di pameran ITB China, Malaysia Airlines mempamerkan program MHcorporatenya, menyediakan penyelesaian perjalanan yang disesuaikan untuk pelanggan korporat, serta program MHexplorer, yang  dikhususkan untuk pelajar berusia 13-26 tahun, bertujuan membina hubungan yang berkekalan dengan komuniti pengembara muda China.

"Menunjukkan komitmen yang jelas terhadap kemampanan, Malaysia Airlines juga mempamerkan ciri-ciri pesawat A330neo terbaharunya melalui pengalaman realiti maya di ITB China 2025," katanya.

Malaysia Airlines menghubungkan penumpang dari China ke 69 destinasi global di seluruh Asia, Australia, Timur Tengah dan Eropah.

Ketika ini syarikat tersebut menyediakan khidmat penerbangan ke bandar utama China termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong dan Taipei.

Malaysia Airlines berkata syarikat itu sedang giat mencari peluang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan dan memperkenalkan laluan tambahan bagi menyokong pertukaran dua hala yang semakin berkembang dalam perdagangan, pelancongan dan interaksi budaya.

Menurut laporan berita tempatan di China, ITB China tahun ini menarik lebih 700 pempamer dari lebih 85 negara, meningkat 30 peratus daripada 2024.

-- BERNAMA