CEO Sunway REIT Letak Jawatan Susulan Dilantik Sebagai CFO Di Sunway Bhd
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Clement Chen Kok Peng.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sunway REIT berkata peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 16 Jun, yang seterusnya menyaksikan pelantikan Chen sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Sunway Bhd pada tarikh yang sama.
Sunway REIT berkata Chen yang juga felow Institute of Chartered Accountants in England and Wales memulakan kerjaya dengan Sunway Group sebagai pelatih kewangan pada 2004 dan berperanan penting dalam penyenaraian Sunway Bhd, Sunway REIT dan Sunway Construction Group Bhd.
Chen dilantik sebagai CEO Sunway REIT Management Sdn Bhd iaitu pengurus Sunway REIT pada 1 Julai 2023.
-- BERNAMA