IPP Malaysia Naik 2.7 Peratus Pada April Disokong Oleh Sektor Pembuatan - DOSM
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bagi April 2025 merekodkan pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
IPP merangkumi sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus dalam sektor pembuatan.
“Sektor perlombongan dan elektrik masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 6.3 peratus dan 1.6 peratus,” katanya.
Industri berorientasikan eksport dalam sektor pembuatan pada April 2025 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.4 peratus berbanding 4.8 peratus pada Mac 2025.
Prestasi ini didorong terutamanya oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan, yang mencatat pertumbuhan sebanyak 22.8 peratus, dan semakin disokong oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optik (11.1 peratus).
Jabatan Perangkaan melaporkan industri berorientasikan domestik berkembang 3.9 peratus pada April 2025 berbanding 2.3 peratus pada Mac 2025.
“Momentum positif ini disumbangkan oleh pembuatan produk pemprosesan makanan (8.2 peratus); produk logam fabrikasi kecuali mesin dan kelengkapan (5.0 peratus); dan logam asas (6.0 peratus),” katanya.
Mengenai penurunan 6.3 peratus dalam sektor perlombongan, Mohd Uzir berkata ia disebabkan oleh penurunan pengeluaran gas asli dan petroleum mentah serta kondensat masing-masing sebanyak 10.0 peratus dan 0.7 peratus.
“Berasaskan bulan ke bulan, indeks perlombongan susut sebanyak 13.9 peratus berbanding pertumbuhan 17.8 peratus pada Mac 2025,” katanya.
Sementara itu, DoSM berkata penurunan 1.6 peratus dalam indeks elektrik merupakan peningkatan berbanding penyusutan 2.2 peratus pada Mac 2025.
Di peringkat global, IPP bagi kebanyakan negara menunjukkan trend peningkatan pada April 2025, dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh dicatatkan di Taiwan (22.3 peratus) dan Vietnam (10.2 peratus).
“Kenaikan yang sederhana turut direkodkan di China (6.1 peratus); Singapura (5.9 peratus); Korea Selatan (4.9 peratus); Thailand (2.2 peratus); Amerika Syarikat (1.5 peratus) dan Jepun (0.7 peratus) bagi April 2025,” katanya.
-- BERNAMA