BERITA TERKINI   Malaysia kekal optimistik untuk menyelesaikan isu berkaitan tarif susulan keinginan AS untuk terus melakukan rundingan bersama - Tengku Zafrul | Tarif AS: Malaysia tidak akan berkompromi bila melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara - Tengku Zafrul | Malaysia gesa ASEAN sokong Visi 2045 di tengah-tengah ketidaktentuan global - Mohamad Hasan | ASEAN akan terus menyokong resolusi Myanmar ke arah keamanan bagi menghentikan krisis di negara itu - Mohamad Hasan | Malaysia kutuk serangan Israel ke atas Iran susulan kempen keganasan berterusan rejim zionis di rantau itu - Mohamad Hasan | 

Bursa Malaysia Hampir Mendatar Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal hampir mendatar pada tengah hari ini dengan sokongan belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, berselang-seli dengan aktiviti pengambilan untung diterajui oleh kaunter produk dan perkhidmatan pengguna. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.009 peratus atau 0.13 mata kepada 1,511.51 daripada 1,511.64 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.25 mata kepada 1,511.89 dan bergerak antara 1,509.42 dan 1,512.96 sepanjang sesi pagi. 

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 419 kaunter rugi mengatasi 288 kaunter untung. Sebanyak 441 kaunter tidak berubah manakala 1,258 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.62 bilion saham bernilai RM818.59 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota, minat dijangka kekal terhadap kaunter berkaitan emas serta minyak dan gas berikutan ketegangan Israel-Iran yang berpanjangan.

“Dengan Malaysia melonjak 11 anak tangga kepada kedudukan ke-23 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia 2025, yang mengukur sejauh mana mesra sesebuah negara terhadap perniagaan, kami percaya pelabur akan terus memberi tumpuan kepada sektor pembinaan, disokong oleh pelaburan dalam pusat data dan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” katanya.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, kedudukan terkini ini, peningkatan daripada tangga ke-34 tahun lepas turut mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033, seperti yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi MADANI.

Syarikat broker saham tempatan itu berkata pihaknya kekal optimis terhadap sektor solar berikutan ramai pemain dalam industri tersebut melaporkan pendapatan dan keuntungan yang meningkat serta dijangka meraih manfaat daripada matlamat negara dalam tenaga boleh baharu.

Dari aspek teknikal, katanya paras halangan dijangka berada antara 1,526 dan 1,531 mata manakala paras sokongan antara 1,491 dan 1,496 mata hari ini. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 6.0 sen kepada RM9.61, Tenaga merosot 6.0 sen kepada RM14.24, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.23, CIMB berkurangan 1.0 sen kepada RM6.65 dan IHH Healthcare susut 5.0 sen kepada RM6.84. 

Bagi kebanyakan saham aktif, Magma Group meningkat 3.0 sen kepada 46 sen, NexG merosot 1.5 sen kepada 34.5 sen, SNS Network Technology naik 4.0 sen kepada 53.5 sen, Tanco Holdings menambah 1.0 sen kepada 98.5 sen dan Alam Maritim Resources berkurangan setengah sen kepada 3.0 sen

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.55 mata kepada 11,297.73, Indeks FBMT 100 merosot 7.30 mata kepada 11,076.63 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 8.53 mata kepada 11,309.84.

Indeks FBM 70 berkurangan 35.54 mata kepada 16,187.46 dan Indeks FBM ACE merosot 12.86 mata kepada 4,430.11.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 13.56 mata kepada 7,237.18 manakala Indeks Tenaga naik 5.43 mata kepada 744.20.

Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.38 mata kepada 17,399.95 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.08 mata kepada 150.07.

-- BERNAMA