BERITA TERKINI   China akan tandatangan Perjanjian SEANWFZ sebaik sahaja semua dokumen lengkap - Mohamad Hasan | Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | 

Unit CCIB Beli Alpadis Trust (Labuan) Pada harga US$750,000

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- CC International Bhd (CCIB) menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Indah Secretarial (Pulau Pinang) Sdn Bhd (ISPG) telah memeterai perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih keseluruhan saham terbitan Alpadis Trust (Labuan) Ltd pada harga US$750,000 (US$1=RM4.19).

CCIB, sebuah syarikat penyelesaian korporat bersepadu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata perjanjian itu ditandatangani dengan Alpadis Group Holding AG.

“Memandangkan Alpadis adalah syarikat perniagaan kukuh dan mempunyai pangkalan data pelanggan yang baik, cadangan pembelian itu akan membolehkan kumpulan itu memperoleh pelanggan sedia ada dengan pantas serta memanfaatkan rangkaian perniagaannya untuk menjual perkhidmatan profesional lain.

“Selain itu, Alpadis telah mencatatkan keuntungan sejak dua tahun kewangan lepas, keuntungan masa depan yang akan dijana akan menyumbang secara positif kepada kumpulan CCIB pada masa depan,” kata CCIB.

Harga pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya melalui hasil yang tidak digunakan daripada pelaksanaan penempatan persendirian yang disempurnakan pada 26 Julai, 2023.

“Cadangan pengambilalihan ini dianggarkan selesai menjelang suku keempat 2025. Cadangan pengambilalihan tersebut tertakluk kepada kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan untuk pemindahan saham daripada vendor.

“Bagaimanapun, ia tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham CCIB dan mana-mana pihak berkuasa kerajaan lain yang berkaitan,” kata CCIB.

-- BERNAMA